Khidmat Philip Yap di Sri Tanjong tidak pernah terhenti

Calon DAP yang mewakili Pakatan Harapan (PH) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjong, Philip Yap memaklumkan khidmatnya tidak pernah terhenti di kawasan yang terletak dalam Parlimen Tawau itu.

Beliau yang sudah sembilan tahun bersama DAP berkata, penglibatannya dalam kerja-kerja kemasyarakatan semakin diperkukuh selepas wakil rakyat di kawasan itu meninggalkan parti.

“Saya telah banyak mencurahkan bakti kepada masyarakat di kawasan ini, terutamanya selepas wakil rakyat kita beralih kepada parti lain,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Harapan Daily.

Menurut Philip, 40, antara usaha yang dilaksanakan ialah membuka kaunter aduan awam, menyelesaikan masalah setempat serta menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma kepada penduduk.

Oleh sebab itu, beliau yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Sabah yakin akan meraih kemenangan di DUN Sri Tanjong pada Pilihan Raya Negeri kali ini berdasarkan rekod perkhidmatan berterusannya.

Dalam masa sama, Philip berkata, semangat perjuangan veteran DAP Lim Kit Siang serta pengalaman jatuh bangun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjadi inspirasi untuk beliau terus berkhidmat.

“Perjuangan Kit Siang sejak puluhan tahun bukannya mudah. Saya melihat kesukaran itu bersama Anwar; masuk penjara, keluar penjara.

“Itu membakar semangat saya untuk terus berkhidmat kepada rakyat atas parti DAP,” katanya.

Pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis Perbandaran Tawau, beliau berkata, jawatan tersebut memberikannya pengalaman mendalam dalam menyelesaikan isu perkhidmatan asas seperti perparitan, bekalan air dan elektrik serta keadaan jalan raya.

Anak jati Tawau itu menambah bahawa kedudukan DAP sebagai komponen utama Kerajaan Perpaduan turut memberi kelebihan untuk membawa lebih banyak pembangunan ke Sabah, khususnya di Tawau.

“Di peringkat Persekutuan, DAP ada lima menteri penuh dan enam timbalan menteri. Ini banyak membantu Sabah untuk membawa lebih banyak pembangunan,” jelasnya.

Pendekatan bersemuka

Mengenai pendekatan kempen, Philip berkata media sosial akan menjadi medan utama untuk menyampaikan maklumat tepat kepada pengundi, terutama dengan capaian telefon pintar dalam kalangan semua peringkat usia.

“Kempen kali ini di media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok; sangat penting untuk menyampaikan maklumat yang betul dan terkini,” katanya.

Walaupun begitu, beliau mengakui pendekatan bersemuka dengan pengundi tetap menjadi strategi teras.

“Saya akan berjumpa pengundi secara langsung untuk menyatakan perancangan saya bagi tempoh lima tahun mendatang,” kata beliau lagi.

Selain Philip, dua muka baharu dicalonkan DAP ialah Ketua Belia Sosialis DAP (DAPSY) Sabah, Chan Loong Wei, 25, di DUN Luyang dan Penolong Setiausaha Publisiti DAP Sabah, Tang Szu Ching, 28, di kerusi DUN Tanjung Papat.

BACA JUGA AMK Sabah kecam kenyataan biadab ADUN PN