Mahasiswa UPSI jemput prof UIAM sertai dialog isu Rom belajar bina kapal dari Melayu

Persatuan Mahasiswa Sejarah dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menghantar jemputan kepada seorang pensyarah bahasa Arab bagi membincangkan dakwaannya bahawa orang Rom belajar membuat kapal daripada orang Melayu.

Menerusi perkongsian seorang pensyarah Jabatan Sejarah di UPSI, Dr. Sahul Hamid Mohamed Maiddin, pihak persatuan telah menghantar jemputan ke emel rasmi pensyarah terbabit sebagai ahli panel untuk mengupas lebih lanjut topik berkenaan.

Perbincangan ilmiah ini akan disertai Dr. Sahul Hamid sendiri dan seorang lagi pensyarah jabatan sejarah, Profesor Madya Dr. Nazirah Lee. 

Menurut surat itu, perbincangan yang sedang dirancang bukanlah bertujuan mencari kesalahan mana-mana pihak tetapi memberikan peluang untuk membentang serta mewacanakannya secara terbuka dan ilmiah.

“Sukacita dimaklumkan bahawa Persatuan Mahasiswa Sejarah UPSI, akan menganjurkan satu perbincangan ilmiah yang bertujuan membincangkan polemik serta perkembangan semasa dalam bidang sejarah secara terbuka dan ilmiah.

“Perbincangan ilmiah ini bertujuan untuk membincangkan hal-hal berkaitan ilmu sejarah. 

“Tarikh berkaitan perbincangan ilmiah ini masih belum ditetapkan kerana kami menunggu balasan daripada pihak Prof. Oleh itu, penetapan tarikh akan dilaksanakan selepas menerima maklum balas daripada Prof,” tulis surat yang dikongsi di Facebook.

Sehubungan itu, pihak persatuan berharap mendapat respon dari pensyarah UIAM, Prof Dr Solehah Yaacob untuk menjayakan perbincangan ilmiah tersebut. 

BACA JUGA Malaysia komited jadi pemudah cara bantu keamanan Kemboja–Thailand