Penangan ringgit melonjak, rakyat Malaysia serbu tukar duit Indonesia
Penangan pengukuhan nilai ringgit berbanding rupiah Indonesia minggu ini, rakyat Malaysia mengambil peluang untuk melancong ke negara jiran dan membuat pertukaran wang lebih awal sebagai persediaan.
Kadar semasa menunjukkan RM1 bersamaan kira-kira 4,000 hingga 4,050 rupiah, menjadikan 1 juta rupiah hanya bernilai sekitar RM248.56 sahaja.
Di media sosial, ada yang berkongsi sudah pun membuat tempahan penerbangan ke Jakarta disebabkan nilai mata wang negara jiran sedang jatuh.
Ada juga yang berkira-kira untuk menanti beberapa hari lagi kerana menjangkakan nilai ringgit akan terus meningkat.
“Baru tukar duit Indonesia tadi. Ya Allah murah sangat eh mata wang Indonesia sekarang. 1 juta rupiah dalam RM250 je,” menurut satu perkongsian di Threads.
Ada satu komen ditinggalkan seorang netizen Indonesia yang memberitahu, dengan nilai 1 juta, mereka boleh membeli makanan asas untuk dua minggu.
“1 juta itu kalau di sini banyak bisa untuk makan 2 minggu. Beli beras 30kg, telur 3kg, minyak 5liter, kicap,buat jajan anak,” kongsi individu itu.
Orang ramai menyifatkan kini masa paling sesuai untuk melancong ke negara tersebut kerana kos penginapan, makanan serta barangan di sana menjadi lebih murah apabila ditukar kepada ringgit.
Nilai ringgit terus mengukuh kepada RM4.12 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), sekali gus muncul sebagai mata wang berprestasi terbaik di rantau Asia.
BACA JUGA Enam Adun PN Kedah wajar dapat ‘anugerah’ kualiti perbahasan teruk