Penjawat awam jangan pajak otak, elak jadi mangsa propaganda
Aktivis politik, Liyana Marzuki, menyeru penjawat awam di seluruh negara untuk berfikir secara kritis dan tidak “memajak otak” atau menyerahkan pemikiran bulat-bulat kepada mana-mana propaganda politik.
Bekas Peguam Kanan Persekutuan, Jabatan Peguam Negara berkenaan menegaskan bahawa kesetiaan kepada negara mesti mengatasi kesetiaan kepada parti atau pemimpin.
Dalam sesi plenari bertajuk “Komuniti Bijak: Jangan Pajak Otak” pada Dialog Integriti Kebangsaan Shah Alam (DIKSA) anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) minggu lalu, Liyana berkata, beliau terharu apabila mesej Jangan Pajak Otak (JPO) semakin diterima dalam kalangan penjawat awam.
“Mereka benteng negara kita dan perwira barisan harapan.
“Kalau barisan ini mendahului akal, bukan emosi, insya-Allah Malaysia akan mendunia,” katanya.
Menurutnya, penjawat awam memainkan peranan penting sebagai tulang belakang negara, justeru mereka perlu memiliki literasi media yang tinggi dan tidak terjebak dalam politik taksub atau politik kebencian.
Liyana berkata, ceramah disampaikannya itu memberi tumpuan kepada cara melawan propaganda melalui literasi media dan kesedaran terhadap tanggungjawab sivik (civic duty).
“Setia kepada negara paling utama, bukan kepada mana-mana parti atau pemimpin. Itu sepatutnya menjadi etos penjawat awam,” tegas beliau.
Program yang disertai penjawat awam MBSA itu turut menampilkan pelbagai aktiviti interaktif, dan menurut Liyana, para peserta menunjukkan komitmen tinggi serta kefahaman mendalam terhadap mesej integriti yang cuba disampaikan.
“Peserta MBSA sangat sporting. Mereka menguasai semua aktiviti dengan cemerlang. Saya kagum,” katanya.
Tambahnya, beliau akan sentiasa menyokong apa sahaja gerakan untuk menjadikan negara lebih baik.
“Pada akhirnya, kita bina negara, bukan sekadar bina parti. Itulah mentaliti rakyat kelas tinggi,” kata Liyana lagi.
BACA JUGA AMK Sabah kecam kenyataan biadab ADUN PN