SKMM menang saman terhadap Edisi Siasat, Edisi Khas

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berjaya dalam kes samannya terhadap dua pentadbir saluran Telegram Edisi Siasat dan Edisi Khas berhubung kesalahan menerbitkan artikel yang berunsur palsu, mengancam dan memudaratkan

Mahkamah Tinggi membenarkan Penghakiman Ingkar Pembelaan oleh SKMM terhadap kedua-dua pentadbir saluran berkenaan selepas gagal memasukkan kehadiran dan pembelaan terhadap tindakan guaman yang difailkan SKMM.

Melalui keputusan tersebut, mahkamah telah mengeluarkan beberapa perintah penting termasuk deklarasi bahawa pentadbir Edisi Siasat dan Edisi Khas telah membenarkan kandungan memudaratkan diterbitkan serta diedarkan terhadap pihak-pihak yang terkilan iaitu institusi awam dan pegawai awam di Malaysia.

Mahkamah turut memberikan injunksi mandatori yang mengarahkan pentadbir kedua-dua saluran tersebut untuk menurunkan serta-merta secara kekal semua kandungan berunsur palsu, mengancam dan memudaratkan lain yang telah diterbitkan.

Selain itu, mahkamah mengeluarkan injunksi larangan yang menghalang pentadbir atau mana-mana ejen, pekerja dan sekutu mereka daripada menerbitkan semula, menyebarkan kandungan yang sama serta menerbitkan kandungan baharu serupa yang memudaratkan. 

Mahkamah memerintahkan taksiran ganti rugi bagi menentukan ganti rugi am dan ganti rugi teladan pada tarikh akan datang.