Aktiviti mendulang emas di Kelantan makin rancak, undang perhatian ramai

Aktiviti mendulang emas di Kelantan semakin rancak sejak kebelakangan ini, sekali gus menarik perhatian rakyat negeri itu yang tidak mahu terlepas peluang untuk mencuba nasib.

Beberapa hari ini, pelbagai video tular di media sosial memaparkan penduduk Kelantan, tanpa mengira usia, turun ke sungai untuk mendulang emas.

Salah satu video yang paling mendapat perhatian menunjukkan sekumpulan remaja turut berminat mencuba aktiviti tersebut, yang dilihat sebagai alternatif bermanfaat berbanding kegiatan kurang berfaedah.

Suasana semakin meriah apabila jualan dulang emas meningkat berkali ganda, selain ada yang secara berseloroh mengaku ‘ore Kelate’ selepas pengumuman tersebut.

Difahamkan, permintaan bagi alat yang dijual pada harga antara RM300 hingga RM400 itu meningkat berkali ganda hanya dalam tempoh dua hingga tiga hari selepas pengumuman dibuat.

Aktiviti mendulang bukan lagi hobi atau warisan tradisi, tetapi boleh dijadikan sumber pendapatan jika dilakukan dengan betul dan berlesen.

Susulan itu, muncul cadangan agar kerajaan negeri mempertimbangkan inisiatif perlombongan emas yang lebih tersusun dan bersepadu supaya manfaatnya dapat dikongsi bersama antara rakyat dan kerajaan negeri.

Untuk pengetahuan, kerajaan negeri telah membenarkan rakyatnya untuk mengusahakan perlombongan emas secara sah melalui kaedah mendulang di atas tanah kerajaan dengan syarat-syarat tertentu bagi tujuan keselamatan, kawalan alam sekitar dan rekod rasmi perlombongan.

BACA JUGA Isu kempen roti gardenia: ADUN Pas biadab, anggap rakyat Sabah mudah dibodohkan