Isu kempen roti gardenia: ADUN Pas biadab, anggap rakyat Sabah mudah dibodohkan

Kenyataan seorang ADUN Pas di Kedah yang seolah mengatakan rakyat Sabah boleh ‘dibeli’ dengan roti Gardenia bukan sekadar biadab, bahkan memberi gambaran penduduk di Sabah seperti tidak mempunyai standard, cukup disuap dengan roti dari Semenanjung.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar berkata, ia bukan lagi penghinaan kecil tetapi isyarat bahawa Pas menganggap rakyat Sabah mudah diperbodohkan.

“Yang lebih kelakar, bila rakyat Sabah mula marah, pemimpin PN Sabah pun panik dan ‘palui’ Pas. Bukan sebab berani, tapi sebab takut undi PN lari macam ayam nampak ular.

“Gabungan apa begini? Pas mulut besar, Bersatu takut besar dan rakyat Sabah pula dijadikan bahan mainan sempena PRN Sabah,” ujarnya dalam satu kenyataan pagi ini.

Mahfuz berpandangan, jika Pas dan PN melihat Sabah seolah-olah boleh dipujuk hanya dengan sekeping roti, maka jawapan yang wajar diberikan rakyat Sabah ialah menolak tawaran sedemikian dan memberikan undi kepada pihak lain.

“Sabah ini negeri bermaruah. Kalau Pas dan PN pandang Sabah seperti budak sekolah boleh dipujuk dengan sekeping roti, jawapan paling padu urang Sabah kena beri ialah: “Bah, roti kamu simpan. Undi kami bagi sama urang lain.” kami tolak Pas/ PN,” katanya lagu 

Terdahulu, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kedah, Mansor Zakaria memohon maaf atas ucapannya di sidang DUN pada yang didakwa menghina rakyat Sabah semasa tempoh kempen PRN.

Video Mansor yang berucap dalam Sidang DUN mengenai usaha menarik perhatian rakyat Sabah seolah-olah menggambarkan ia semudah memberi roti Gardenia, merujuk kepada kempen pilihan raya negeri tersebut.

Kenyataan itu mengundang reaksi pelbagai pihak yang menganggap ucapan Mansor sebagai penghinaan kepada rakyat Sabah.