Pengguna TikTok diarah padam video fitnah terhadap TH dalam tempoh 24 jam

Seorang pengguna TikTok diarah untuk memadamkan satu kandungan video yang didakwa memfitnah Lembaga Tabung Haji (TH) di media sosial, dalam tempoh 24 jam.

Mahkamah Tinggi Shah Alam mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan injunksi sementara sebelah pihak (ex parte), yang dikemukakan TH terhadap Hidayat Ramli, 38, selaku defendan.

Defendan didakwa memuat naik dan menerbitkan klip bersifat tidak benar terhadap TH dengan menggambarkan pendeposit berpusu-pusu mengeluarkan simpanan masing-masing.

Peguam mewakili TH, Datuk Akberdin Abdul Kader ketika dihubungi media berkata, pihaknya memohon injunksi berkenaan kerana wujud keadaan mendesak untuk menghentikan penyebaran kandungan berbaur fitnah terhadap TH.

Menurut Harian Metro, defendan didakwa dengan niat jahat memuat naik, menyiarkan dan menghebahkan klip video palsu dan telah menjejaskan reputasi, mencalar imej serta menjatuhkan maruah TH di mata masyarakat.

Perintah itu turut meliputi larangan terhadap defendan, wakil atau mana-mana individu daripada menerbitkan, menyiarkan, berkongsi atau memuat naik semula klip video bertarikh 17 September lalu.

Mahkamah turut mengeluarkan injunksi yang menghalang defendan daripada menerbitkan sebarang kenyataan yang serupa atau mempunyai kesan yang sama.

Sementara itu dalam afidavit sokongan diikrarkan Ketua Pegawai Perundangan dan Sekretarial Kumpulan TH, Mohd Suhaimi Ismail, banyak komen negatif susulan penerbitan terhadap TH, sekali gus menimbulkan rasa takut pencarum untuk mempercayai TH.

“Setakat tarikh 29 September lalu, klip video yang mengandungi pernyataan fitnah telah mendapat lebih daripada 3.7 juta tontonan, 53,500 tanda suka, 7,351 komen, 12,200 simpanan dan dikongsi lebih daripada 52,700 kali oleh pengguna TikTok seluruh dunia, termasuk di Malaysia.

“Tidak dinafikan, banyak komen negatif atau cacian susulan penerbitan terhadap TH, sekali gus menimbulkan rasa takut sehingga mereka menyatakan hasrat untuk menutup akaun masing-masing,” katanya.

BACA JUGA Ringgit ada potensi cecah paras RM4 berbanding dolar AS