PM sambut baik kesediaan Thailand-Kemboja teruskan usaha diplomatik, laksana KL Peace Accord
Perdana Menteri Malaysia menyambut baik kesediaan dan jaminan kerajaan Kemboja dan Thailand untuk meneruskan dialog serta usaha diplomatik ke arah memastikan Kuala Lumpur Peace Accord dapat dilaksanakan sepenuhnya.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menghargai peranan dan penglibatan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dalam mempromosikan penyelesaian damai terhadap situasi yang sedang berlaku.
“Saya mengalu-alukan komitmen kerajaan Kemboja dan Thailand untuk memastikan penyingkiran senjata berat dan peralatan pemusnah, serta melaksanakan operasi nyah periuk api kemanusiaan di kawasan sempadan dengan segera,” katanya di Facebook.
Beliau turut menyambut baik jaminan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul untuk mengelakkan sebarang tindakan selanjutnya yang dianggap provokatif.
Menurutnya, kedua-dua pemimpin itu berikrar mengambil langkah lanjut bagi meningkatkan keyakinan bersama dan memulihkan hubungan dua hala yang produktif.