Saingan 13 penjuru di DUN Kapayan, 9 penjuru DUN Tanjung Aru

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 menyaksikan beberapa kerusi DUN berdepan saingan ramai calon, termasuk pertandingan 13 penjuru di DUN Kapayan 

Jannie Lasimbang dari DAP berdepan pertarungan 12 calon lain termasuk calon dari parti Pejuang di bawah Datuk Seri Mukhriz Mahathir iaitu Lasius Miki.

Calon lain terlibat ialah Chin Tek Ming (Warisan), Bernard Logijin (Parti Solidariti Tanah Airku) dan Billy Joe Dominic (UPKO).

Turut bertanding ialah Dr Edwin Bosi (Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat), Chin Ling Ling (Parti Impian Sabah), Wong Kong Fooh (Parti Kerjasama Anak Negeri), Kuo Lee On (Parti Bumi Kenyalang), Sylvester Moloukun (Parti Aspirasi Rakyat Sarawak) dan calon bebas Cyril Gerald Liew, Sabariah Aziz dan Len Lip Fong.

Sementara itu sembilan penjuru di DUN Tanjung Aru. Tumpuan saingan adalah pertembungan antara Naib Presiden Warisan, Junz Wong dan Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Chan Foong Hin.

Sebelum DUN dibubarkan bulan lalu, kerusi itu disandang Wong memenangi PRN 2020 dengan majoriti 3,147 undi

Selain Chan yang mewakili Pakatan Harapan (PH), turut diterima pencalonannya Suhaimi Buang (Perikatan Nasional), Yee Wee Ping (Parti Impian Sabah), Wong Cheng Chee (Parti Kerjasama Anak Negeri), Dennison R Indang (Upko) dan Zaim Ansawi (bebas).