Pas Pulau Pinang tidak bersekongkol dengan Sanusi dalam tuntutan pajakan Pulau Pinang

Pas Pulau Pinang tidak bersekongkol dengan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam tuntutan bayaran pajakan yang lebih tinggi meskipun mereka tidak menegur pimpinan mereka di Kedah, kata Timbalan Ketua Menteri Jagdeep Singh Deo malam ini.

“Mereka sememangnya bersama negeri. Saya percaya begitu. (Apa yang penting ialah) kita berdiri teguh dan tidak berganjak di Pulau Pinang,” katanya ketika menghadiri rumah terbuka Deepavali peringkat negeri.

Jagdeep, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Datuk Keramat, ditanya sama ada beliau akan menuntut 11 ADUN Perikatan Nasional negeri, termasuk tujuh dari PAS, menjelaskan pendirian mereka mengenai isu berkenaan pada sidang DUN minggu depan.

Pada Khamis, ketua penerangan Pas Pulau Pinang Fawwaz Jan berkata kes tersebut seharusnya dibenarkan untuk melalui saluran undang-undang yang betul tanpa campur tangan politik atau spekulasi yang boleh “mengaburi isu”.

Kenyataan Fawwaz mengundang kritikan daripada ketua DAP Pulau Pinang Steven Sim, yang berkata pengundi berhak mengetahui sama ada wakil mereka akan mengkhianati Pulau Pinang dengan bersetuju dengan desakan berulang menteri besar Kedah, Sanusi Nor, untuk bayaran pajakan yang lebih tinggi.

Jagdeep, turut menolak tuntutan Kedah itu, dengan mengatakan ia tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Jangan ugut kami. Kerajaan ini tidak mengambil mudah sebarang ugutan, dan kami bersedia berdepan kamu kerana kami sebuah negeri yang mematuhi undang-undang,” katanya.

“Mereka mesti berdepan akibat jika mahu membuat kenyataan melulu sebegitu. Saya minta mereka bersedia menerima padah jika memilih pendirian tersebut,” tambahnya.

Pada 10 Nov, Sanusi berkata Kedah berada pada fasa akhir pelantikan pasukan guaman untuk memulakan tindakan mahkamah berhubung status negeri itu dan hubungannya dengan Pulau Pinang.

BACA JUGA: Aktiviti mendulang emas di Kelantan makin rancak, undang perhatian ramai