Krisis bekalan elektrik: Calon PH Sri Tanjong mahu bina kerjasama dengan kerajaan persekutuan, pacu reformasi penyelesaian

Calon Pakatan Harapan bagi N70 Sri Tanjong, Philip Yap Wui Lip menegaskan bahawa masalah ketidakstabilan bekalan elektrik yang mengganggu Tawau sejak sekian lama telah menjadi halangan terbesar kepada pembangunan rakyat dan ekonomi setempat.

Sebagai anak jati Tawau, beliau amat memahami kesulitan yang dialami penduduk setiap kali berlaku gangguan elektrik, justeru beliau meletakkan penstabilan tenaga sebagai misi utama sekiranya diberikan mandat.

Menurutnya, insiden gangguan elektrik berskala besar yang sering berlaku di Tawau dan pantai timur Sabah bukanlah berpunca daripada satu-satu kejadian, sebaliknya berakar daripada ketidakseimbangan struktur tenaga jangka panjang.

“Tawau terletak di bahagian penghujung sistem penghantaran. Apabila berlaku kerosakan pada talian penghantaran elektrik utama, kawasan ini akan memasuki keadaan ‘mod terpencil’, terpaksa bergantung pada dua stesen janakuasa – Jalan Kuhara dan Jalan Timur– bagi bekalan kecemasan.

Namun kapasiti kedua-duanya terhad, menyebabkan bekalan perlu dijalankan secara bergilir-gilir untuk menampung keperluan asas, tetapi masih tidak mampu memenuhi operasi harian isi rumah, peniaga mahupun perkhidmatan awam.”

Yap menambah, kejadian tanah runtuh pada September lalu yang merosakkan talian penghantaran 275kV Kolopis–Segaliud sehingga menyebabkan gangguan besar di pantai timur sekali lagi membuktikan kerapuhan struktur tenaga wilayah ini, selain menyerlahkan betapa mendesaknya keperluan untuk mempunyai loji janakuasa beban asas (baseload) yang stabil di pantai timur.

Kebergantungan berterusan kepada “tenaga dari barat dihantar ke timur” meletakkan Tawau dalam keadaan tidak menentu — apabila berlaku gangguan pada mana-mana bahagian, penduduk Tawau akan paling terkesan.

Mengulas mengenai keadaan rakyat, Yap berkata beliau telah beberapa kali turun padang sendiri ke Pejabat Elektrik Tawau ketika berlakunya gangguan.

Beliau mendapati penduduk bergelut melalui malam panas tanpa elektrik, peniaga menanggung kerugian akibat kerosakan barangan sejuk beku, dan hospital terpaksa mengaktifkan sistem sandaran bagi menjamin keselamatan pesakit.

Beliau menegaskan bahawa masalah tenaga telah melepasi tahap “ketidakselesaan”, malah kini mengganggu maruah hidup dan keselamatan asas.

“Bekalan elektrik bukan perkara remeh — ini tekanan harian yang benar dialami rakyat.”

Beliau turut menekankan bahawa penambahbaikan struktur tenaga tidak mungkin dapat dilaksanakan oleh satu pihak sahaja. Ia memerlukan kerjasama rapat antara kerajaan negeri, agensi tenaga dan kerajaan Persekutuan.

Yap berkata beliau mengekalkan hubungan komunikasi yang baik dengan pihak Persekutuan, sekali gus boleh memainkan peranan sebagai ‘jambatan negeri–Persekutuan’ untuk memperjuangkan keperluan Tawau dengan lebih berkesan, memastikan isu setempat diberi perhatian segera serta mempercepatkan proses kelulusan dan pelaksanaan projek.

Beliau komited untuk terus memantau pembangunan Southern Grid, mempercepat perancangan loji janakuasa beban asas pantai timur, serta membantu membawa masuk inisiatif tenaga boleh diperbaharui, sistem penyimpanan tenaga (BESS) dan penyelarasan tenaga yang lebih mantap.

Beliau yakin bahawa melalui kerjasama lebih erat antara persekutuan dan negeri, penstabilan tenaga Tawau bukan sekadar boleh dicapai, tetapi wajib direalisasikan.

“Saya anak jati Tawau. Saya tahu apa yang diperlukan oleh kampung halaman saya.”

Beliau menegaskan bahawa sekiranya diberikan mandat, beliau akan berusaha secara paling praktikal untuk membawa perubahan, keluarkan Tawau keluar secara berperingkat daripada gangguan elektrik bila-bila masa, sekaligus menyediakan asas pembangunan yang lebih kukuh untuk keluarga, perniagaan dan ekonomi setempat.

BACA JUGA: Sabah rugi besar jika pilih parti yang asyik berperang dengan Putrajaya