Pentingnya kerjasama mantap Sabah–Persekutuan, PM janji liputan internet lebih berkualiti
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakhiri lawatan kerja beliau semalam ke Sabah dengan menghadiri pertemuan mesra bersama masyarakat di Dewan Datuk OKK Sanggau Jalang, Melalap, yang dibanjiri penduduk setempat dalam suasana penuh mesra dan harmoni.
Dalam ucapannya, Anwar menegaskan bahawa kestabilan dan kemajuan Sabah bergantung kuat kepada pemilihan kerajaan negeri yang mampu bekerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, kerjasama tersebut merupakan kunci utama memastikan pelaksanaan pembangunan berjalan lancar dan manfaatnya dapat dirasai seluruh rakyat.
Sejak pentadbiran Kerajaan MADANI, jelasnya, pelbagai projek pembangunan dan penambahbaikan infrastruktur telah dilaksanakan di seluruh Sabah.

Dalam masa sama, Anwar turut menekankan bahawa peningkatan kesalinghubungan digital menjadi antara fokus utama kerajaan di Sabah.
Melalui pelaksanaan program JENDELA, katanya, kerajaan mempergiat pembinaan menara komunikasi baharu, menaik taraf stesen pemancar, serta menyediakan jalur lebar berasaskan satelit di kawasan yang memerlukan.

Langkah itu, jelas beliau, penting untuk memastikan liputan 4G dan 5G dapat diperluas secara menyeluruh di negeri berkenaan.
“HARAPAN saya jelas, urang Sabah mesti terus menikmati akses internet yang lebih berkualiti, bukan sahaja untuk memperkukuh sektor pendidikan, tetapi juga bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan kerajaan demi kesejahteraan Bersama,” kata Perdana Menteri lagi.
BACA JUGA Saifuddin ‘berkampung’ di Sabah, seru pesta demokrasi yang menyatukan