PM Anwar ke tiga negara Afrika ini mulai esok
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan ke Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya mulai esok hingga 24 November.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, berkata lawatan rasmi ke Ethiopia dan Kenya serta lawatan kerja ke Afrika Selatan itu menggunakan penerbangan sewaan khas Malaysia Airlines.
“Perjalanan akan bermula di Addis Ababa, Ethiopia, di mana Perdana Menteri dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Taye Atske Selassie sebelum kedua-duanya menghadiri Forum Perniagaan Peringkat Tertinggi Malaysia-Ethiopia.
“Perdana Menteri turut dijadual mengadakan pertemuan dua hala bersama Perdana Menteri, Dr Abiy Ahmed Ali, termasuk menyaksikan pertukaran beberapa memorandum persefahaman (MoU).
“Selain itu, beliau akan bertemu Pengerusi Suruhanjaya Kesatuan Afrika, Mahmoud Ali Youssouf, dan menyampaikan syarahan umum kepada belia Afrika sebagai usaha memperkukuhkan hubungan Afrika-Asia,” katanya pada sesi taklimat bersama media.
Anwar seterusnya akan ke Johannesburg, Afrika Selatan, bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20 2025 sebagai Pengerusi ASEAN yang mewakili suara 650 juta rakyat.
“Perdana Menteri turut dijadualkan bertemu Presiden Cyril Ramaphosa, menghadiri forum perniagaan bersama pemain industri Afrika Selatan, berdialog dengan pemimpin komuniti Islam serta menyantuni warga Malaysia di negara itu,” katanya.
Perdana Menteri turut dijadual menyampaikan ucaptama pada Forum Pendidikan Tinggi Malaysia-Africa (MAHEF) 2025, menghadiri Forum Perniagaan Malaysia-Kenya, serta beramah mesra dengan diaspora Malaysia dan alumni Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).
“Delegasi dijangka pulang dan tiba di Kuala Lumpur pada 25 November ini.
“Kerajaan MADANI menaruh harapan supaya rangkaian pertemuan di Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya ini mampu memperkukuhkan persahabatan, memacu perdagangan serta membuka peluang baharu demi kesejahteraan rakyat.
BACA JUGA: KPKT jawab fitnah hidangan minuman, serah kes kepada MCMC