Sabah rugi besar jika pilih parti yang asyik berperang dengan Putrajaya
Oleh DR ZULQARNAIN LUKMAN
PRU DUN Sabah ke -17 akan berlangsung pada 29 November 2025. Selesai proses penamaan calon pada 15 November 2025, SPR telah mengumumkan bahawa seramai 596 calon disahkan bertanding untuk merebut 73 kerusi Dun.
Hanya satu parti yang akan bertanding di 73 kerusi iaitu parti Warisan. Parti Impian Sabah (PIS) akan bertanding 72 kerusi. Bebas pula bertanding di 74 kerusi.
Parti-parti lain GRS – 55 kerusi, Star – 46 kerusi, BN – 45 kerusi, PN – 42 kerusi, KDM – 40 kerusi, UPKO – 25 kerusi, PH – 20 kerusi dan lain-lain.
PRU Sabah 2025 ini adalah pilihan raya paling kucar (chaos) kerana adalah tidak masuk akal begitu ramai sekali calon yang bertanding sedangkan kerusi yang direbut itu hanya 73 kerusi.
Meskipun tiada peraturan yang menghadkan jumlah pertandingan, namun secara demokrasi ianya adalah tidak sihat.
Demokrasi yang sihat tidak memerlukan banyak pertandingan. Cukuplah pertandingan itu berlaku dalam dua penjuru sahaja.
Menurut SPR, pertandingan kali ini minimum adalah 4 penjuru dan maksimum adalah 14 penjuru.
Jadi, bayangkan sahaja jika begitu banyak makanan di atas meja seperti buffet hotel, bagaimanakah kita mahu menghabiskan kesemua sekali.
Pertandingan pilihan raya adalah sebenarnya pertandingan ideologi iaitu pertandingan untuk menawarkan matlamat dan hala tuju untuk memerintah dalam tempoh lima tahun akan datang.
Pertandingan yang melibatkan begitu banyak penjuru ini akan mencairkan ideologi yang ingin dibawa sehingga rakyat sendiri tidak akan membuat pilihan yang tepat ke arah mana hala tuju negeri untuk tempoh lima tahun yang akan datang.
Cuba lihat sahaja pemilihan datuk bandar New York, hanya tiga calon sahaja yang terlibat Zohran Mamdani mewakili parti Demokratik, Curtis Sliwa mewakili parti Republican dan Andrew Cuomo sebagai calon bebas (asalnya pernah bertanding mewakili parti Demokratik).
Sistem pemilihan berdasarkan dua parti ini lebih matang dan lebih jelas polisi yang ingin dibawa berbanding dengan pemilihan yang berselirat dan berserabut dengan pelbagai ideologi.

Inanam pada 15 November lalu.
Namun, jika kita melihat secara lebih mendalam, pilihan raya Sabah ini membawa dua jenis ideologi sahaja iaitu sama ada parti lokal seperti Warisan, PIS, Star, KDM dan UPKO atau ideologi campuran Persekutuan dan Negeri seperti GRS, BN, PN dan PH.
Sentimen kebelakangan ini terutama selepas kes Sabah Law Society yang berjaya dalam tuntutan 40% hak rakyat Sabah menunjukkan kecenderungan kepada parti lokal.
Walaupun itu keinginan rakyat Sabah namun rakyat Sabah juga tidak mahu terpinggir daripada politik nasional atau Persekutuan.
Hakikatnya, menggunakan slogan Sabah for Sabahan itu lebih menarik perhatian pengundi kerana ianya menyentuh emosi dan perasaan serta menimbulkan rasa patriotik yang tinggi.
Tetapi, mengikut semangat Perlembagaan rakyat Sabah sangat memerlukan kerjasama rapat dengan Persekutuan.
Boleh bekerjasama
Sabah adalah sebahagian daripada Persekutuan dan yang paling penting adalah semangat Federalisme itu haruslah lebih tinggi daripada perasaan dan emosi.
Rakyat Sabah perlu memilih wakil rakyat yang boleh bekerjasama dengan Persekutuan dan pada masa yang sama tetap mengukuhkan kedudukan negeri Sabah sebagai sebuah negeri yang berdaulat dan mempunyai keistimewaan tertentu berbanding negeri-negeri di Semenanjung.
Rakyat Sabah tidak boleh memilih parti yang sentiasa ingin berperang dan bermusuh dengan Persekutuan.

Sikap terlampau lokal sehingga ditanggapi suka berperang dengan Persekutuan akan merugikan ekonomi Sabah.
Sabah masih memerlukan pembangunan infrastruktur dan hanya Persekutuan yang mempunyai sumber yang cukup untuk diberikan dana pembangunan tersebut.
Tambahan lagi, jika pun parti seperti PH atau BN itu parti yang mempunyai ibu pejabat di Semenanjung, kesemua calonnya adalah lokal.
Dari satu segi ada kelebihannya, calon lokal ini mempunyai akses dengan parti yang memerintah Persekutuan.
Contohnya seperti calon PH (AMANAH) di DUN N. 64 Sulabayan, Semporna adalah anak jati Pulau Bum-Bum, Sulabayan.
Kelebihan yang ada padanya adalah di belakangnya ada Menteri dan Timbalan Menteri yang sangat rapat dengan keperluan rakyat Sulabayan.
Dari segi keperluan pertanian, perikanan (Mohamad Sabu, Menteri KPKM), kesihatan (Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri KKM), keselamatan dan pertahanan (Adly Zahari, Timbalan Menteri Pertahanan) dan infrastruktur (Aiman Athirah, Timb Menteri KPKT).

Maka, sudah pasti jika beliau dipilih sebagai wakil rakyat lebih mudah untuk mendapatkan akses keperluan ini.
Jika kita menggunakan konteks ini bermakna rakyat Sabah perlu memilih parti yang mempunyai ideologi lokal yang tegas untuk merundingi hak-hak Sabah di bawah Perlembagaan dan MA 1963.
Namun, pada masa yang sama mempunyai kerjasama yang rapat dengan pemimpin Persekutuan khususnya kerajaan Perdana Menteri.
Tiada guna memilih parti lokal yang tegas tetapi menjadikan Persekutuan seolah-olah sebagai musuh dan sentiasa memandang Persekutuan dengan curiga.
Keputusan PRU Sabah ini nampaknya tiada satu parti yang akan berjaya membentuk majoriti mudah iaitu 37 kerusi.
Nasib baik juga undang-undang anti lompat parti telah digubal dan ini akan meminimumkan kemungkinan berlakunya lompat parti setelah PRU Sabah selesai.
Namun, undang-undang lompat parti tidak menghalang untuk lompat parti secara berjemaah atau berkumpulan.
Maksudnya undang-undang lompat parti ini hanya menghalang seseorang individu itu untuk lompat parti atas kapasiti individu tetapi tidak menghalang untuk sesuatu parti itu melompat keluar dari gabungan.
Melalui laporan media, kita memahami bahawa GRS telah mempunyai persefahaman dengan PH. GRS bertanding di 55 kerusi dan PH bertanding 22 kerusi menjadikan 77 kerusi (bermakna ada kerusi yang bertindih).
Parti Warisan dan PIS tidak berniat untuk bergabung dengan mana-mana parti kerana mereka bertanding di 73/72 kerusi.
BN dan PN pula tidak tahu ke mana akan pergi kerana mereka hanya bertanding di 45 kerusi. Kemungkinan mereka akan bergabung dengan mana-mana parti setelah pilihan raya selesai.
Begitu juga dengan parti lokal yang lain seperti KDM (40 kerusi), UPKO (25 kerusi), PKS (20 kerusi), Anak Negeri (17 kerusi), Star (46 kerusi) dan PPRS (16 kerusi).
Kesemuanya itu tidak tahu hala tuju mereka selepas pilihan raya melainkan mereka akan bergabung dengan pihak yang menang.
Jika rakyat Sabah mempunyai kefahaman sebegini barangkali peluang untuk GRS-PH untuk memenangi pilihan raya ini lebih tinggi.
Lagipun, beberapa parti besar di Sabah sebelum ini seperti PGRS, PBS dan USNO masih menjadi komponen GRS.
BN pula nampaknya masih mengimpikan untuk menjadi ketua menteri berbanding untuk bekerjsama dengan GRS dan justeru mencuba nasib di 45 buah kerusi.
Namun, jika rakyat Sabah memilih parti lokal yang vokal terhadap Persekutuan maka barangkali parti Warisan yang menjadi pilihan.
Kemenangan Warisan adalah bergantung sepenuh kepadanya slogan terbaharunya ‘Selamatkan Sabah’.
Soalnya, adakah slogan seperti ini mempunyai rasional yang kukuh? Selamatkan Sabah daripada apa?
Parti PIS pula adalah parti baharu yang ditubuhkan pada 2023 dan agak sukar untuk parti ini menang kerusi dengan banyak kerana tiada tokoh utama dalam parti dan bukanlah saingan kepada Warisan.
Saingan kepada Warisan adalah datang dari parti lokal yang lain seperti UPKO yang membawa slogan ‘Sabah First’, Star (Unity is Duty), KDM, PKS, Anak Negeri dan PPRS.
Oleh itu, agak sukar juga bagi Warisan untuk menang bergaya dalam PRU kali ini.
Dalam PRU 2018, Warisan memenangi 21 kerusi tetapi Shafie Apdal berjaya menjadi Ketua Menteri hasil kerjasama dengan PH (8 kerusi) dan UPKO (6 kerusi).
Walaupun dalam PRU 2020, Warisan berjaya menambah kerusi kepada 23 kerusi tetapi selepas PRU 15 sebahagian adunnya berhijrah ke GRS menjadikan adun Warisan tinggal 16 kerusi sahaja.
Parti yang paling rugi barangkali adalah PN gara-gara ideologi ‘roti gardenia’ yang disebut oleh Exco Pas Kedah.
Kata bidalan ‘Tersilap mulut badan binasa, terlajak perahu boleh diundur terlajak kata buruk padahnya’ adalah sangat sesuai untuk menggambarkan suasana ini.
PN ini sangat ‘underdog’ dalam pilihan raya ini kerana PN bukanlah parti lokal dan bukanlah parti yang memerintah di Persekutuan.
Oleh itu, PN ini ke tengah pun tidak, ke tepi pun tidak. Jadi, tidak ada sebab langsung untuk rakyat Sabah memilih PN melainkan atas sebab peribadi atau kekuatan calon secara individu.
Sebagai kesimpulan, sebenarnya adalah lebih baik untuk pengundi jika hanya dua parti yang bertanding dan parti-parti yang ada ini bergabung di bawah satu logo sahaja.
Paling tidak, wujudkan persefahaman sesama parti ini supaya tidak berlaku pertindihan kerusi.
Namun, oleh sebab masing-masing tidak mahu berunding, maka jadilah apa yang jadi dalam PRU ini yang mana masing-masing mengaku mempunyai kelebihan dan akan menang pilihan raya.
Justeru, kemungkinan wujud satu ketidaktentuan politik selepas PRU Sabah sehinggalah tarikh angkat sumpah Ketua Menteri Sabah adalah besar memandang kepada persaingan sengit daripada calon yang bertanding kecuali jika GRS menang banyak kerusi.
Dalam hal itu, sudah pasti Adun GRS yang akan menjadi ketua menteri dengan gabungan PH serta parti-parti lain yang memberikan sokongan kepada GRS selepas PRU.
BACA JUGA ‘Orang Sabah makan roti Gardenia je tapi…’