Buka peluang ekonomi baharu, PMX jelajah tiga negara Afrika
Malaysia akan terus mengangkat kepentingan dan suara negara di pentas antarabangsa, termasuk melalui lawatan ke tiga negara di benua Afrika, dengan Ethiopia menjadi persinggahan pertama, kata Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa Malaysia komited memperteguh multilateralisme, meluaskan peluang pelaburan dan ekonomi, serta memperkukuh seni diplomasi dan hubungan antarabangsa melalui lawatan berkenaan.
“Mohon doa teman-teman agar urusan saya dan delegasi Malaysia dipermudah, lantas membawa manfaat dan pulangan terbaik kepada negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, beliau dan delegasi Malaysia kini berada di Addis Ababa, Ethiopia untuk mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya, Dr Abiy Ahmed Ali.
Jelasnya, lawatan tersebut turut merangkumi sesi pertemuan bersama peneraju industri, komuniti perniagaan, dan pemimpin-pemimpin Islam di negara berkenaan.
Dalam masa sama, beliau juga memaklumkan akan meneruskan lawatan kerja ke Johannesburg, Afrika Selatan, bagi mewakili Malaysia ke Sidang Kemuncak Pemimpin G20, selain mengadakan pertemuan dengan Presiden Cyril Ramaphosa.
“Saya turut akan ke Nairobi, Republik Kenya, untuk sesi pertemuan bersama Presiden William Ruto bagi merapatkan hubungan kedua-dua negara, meneroka peluang dan kerjasama baharu, selain dijadualkan bertemu pemimpin-pemimpin Islam di sana,” kata Perdana Menteri lagi.
Untuk rekod, sebuah pesawat sewa khas Malaysia Airlines yang membawa Anwar berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada jam 12.35 tengah hari tadi.
Beliau diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa; pegawai kanan kerajaan yang lain serta delegasi perniagaan.
Ethiopia merupakan rakan dagang ke-26 terbesar Malaysia di benua Afrika pada 2023.
Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Ethiopia bernilai RM446.8 juta, dengan eksport dari Malaysia ke Ethiopia berjumlah RM358.6 juta, peningkatan 24.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.
BACA JUGA Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu dituduh pilih bulu, membuat pendakwaan terpilih