FAM mulakan proses bawa kes ke Mahkamah Timbang Tara Sukan

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan memulakan proses undang-undang dan membawa kes pertikaian pemain warisan Harimau Malaya ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (Court of Arbitration for Sport, CAS). 

Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti alasan penuh keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang menolak rayuan FAM berkaitan kelayakan tujuh pemain warisan Malaysia.

“Langkah ini diambil bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan serta mempertahankan integriti proses kelayakan pemain yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia dan badan-badan berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi. 

FAM berkata, persatuan itu tetap komited memperjuangkan hak semua pemain yang layak mewakili negara, dan akan memastikan setiap tindakan diambil secara profesional, telus serta mengikut saluran undang-undang yang sewajarnya.

FAM dan tujuh pemain warisan negara berdepan hukuman selepas didakwa memalsukan dokumen asal usul pemain.

FAM dikenakan denda CHF350,000 (RM1.8 juta), manakala tujuh pemain terbabit digantung 12 bulan serta dikenakan denda CHF2,000 (RM10,000) setiap seorang.

FAM telah mengemukakan rayuan terhadap hukuman tersebut namun ditolak.

Hari ini, FIFA mengeluarkan 63 muka surat alasan penuh keputusan Jawatankuasa Rayuan yang menolak rayuan FAM dan tujuh pemain terbabit.

BACA JUGA Guna kenderaan rasmi atas faktor keselamatan, bukan untuk kempen – PM