Guna kenderaan rasmi atas faktor keselamatan, bukan untuk kempen – PM
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menepis dakwaan beliau menggunakan kemudahan kerajaan untuk berkempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Anwar berkata semua program yang dihadirinya adalah program kerajaan yang sudah dijadualkan lebih awal dan bukan program kempen.
Malah, semua program kempen dijalankan atas nama parti dan tidak menggunakan jentera kerajaan.
“Kempen saya semuanya kempen atas nama parti. Di Parlimen sudah dijawab.
“Kalau macam tu saya nak guna kenderaan mana… (Guna kenderaan) kerajaan, itu kelonggaran. PM kena guna pasukan keselamatan dan kenderaan rasmi dalam apa program sebab pertimbangan sekuriti,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Menurutnya, keperluan penggunaan kenderaan rasmi kerajaan bukan pilihan, sebaliknya kewajipan keselamatan.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai penggunaan aset kerajaan ketika Anwar berkempen di Sabah.
Sementara itu, Anwar menegaskan beliau sendiri sudah menetapkan garis panduan agar program kempen parti tidak melibatkan mana-mana agensi atau institusi kerajaan.
Seperti contoh program Temu Anwar bersama mahasiswa, Anwar telah membatalkan program itu kerana tidak mahu universiti menjadi penganjur secara rasmi.
“Dalam peraturan kerajaan memang seorang Perdana Menteri selayaknya menggunakan (kenderaan rasmi kerajaan) kerana ia soal keselamatan yang diluar pertimbangan saya,” katanya.