Ketua Bahagian Bersatu Sepang, Puchong kena pecat

Ketua Bahagian Bersatu, Datuk Suhaimi Mohd Ghazali (Sepang) dan Mohd Shukor Mustaffa (Puchong) dipecat berkuat kuasa serta-merta.

Kedua-duanya dipecat kerana melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli, menurut Pengerusi Lembaga Disiplin parti, Datuk Mohd Radzi Manan, dalam satu notis, semalam.

Menurutnya, keputusan dibuat selepas pihak Lembaga Disiplin menerima aduan bertulis daripada ahli parti terhadap responden berkenaan.

Sehubungan itu, jelasnya, Lembaga Disiplin mengambil tindakan menyiasat aduan serta memanggil responden untuk satu sesi pendengaran pada 30 Oktober 2025, dan seterusnya membuat keputusan selaras dengan Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu.

Beliau berkata, responden yang dipecat keahlian terlucut semua jawatan yang disandang dalam parti, dan hendaklah dikeluarkan daripada senarai ahli BERSATU dengan serta-merta.

Namun, katanya, Mohd Shukor dan Suhaimi berhak mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan parti untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari.

Dalam masa sama, notis itu turut memaklumkan bahawa Ketua Bahagian Pendang, Abdul Razak Khamis, dibebaskan dengan teguran.

Sebelum ini, Abdul Razak mempertikaikan sikap keras yang didakwa ditunjukkan oleh Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berhubung isu dalaman Bersatu, dan menganggap Ketua Penerangan parti itu sebagai ‘terlalu mentah’.

Bulan lalu, Lembaga Disiplin Bersatu memecat keahlian anggota Majlis Pimpinan Tertinggi, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, selain menggantung keahlian Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, selama satu penggal.

Turut dipecat adalah empat lagi ahli, iaitu Mohd Azrudin Md Idris (Hang Tuah Jaya), Mohd Faizal Asmar (Pengerang), Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur) dan Mohd Isa Mohd Saidi (Ampang).

BACA JUGA ‘Orang Sabah makan roti Gardenia je tapi…’