Menteri basuh MP desak buat ‘soft landing’, tidak akan kompromi kenderaan lebih muatan

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke kecewa dengan segelintir Ahli Parlimen yang meminta kementerian itu untuk melonggarkan penguatkuasaan ke atas kenderaan berat lebih muatan.

Dalam ucapan di Dewan Rakyat petang semalam, Loke bertanya kepada semua ahli Dewan, siapa yang boleh menjamin tidak akan berlaku sebarang kemalangan jika kerajaan mengenakan penguatkuasaan berbentuk “soft landing”.

Beliau mencabar Ahli Parlimen untuk bangkit berdiri memberi jaminan tersebut, berikutan kritikan yang dilemparkan terhadapnya kerana mengambil pendirian tegas kepada kenderaan membawa muatan berlebihan.

“Saya sedikit terkilan dan berdukacita dengan pandangan ahli-ahli berhormat, seolah-olah mereka ini cuba menjadi jurucakap kepada mereka yang membawa muatan berlebihan.

“Mana ahli berhormat yang minta saya buat soft landing, tolong bangun cakap ‘saya jamin tidak ada kemalangan dalam tempoh itu’. Kalau atas tekanan yang berhormat, (kemudian) saya umum buat soft landing, esok semua pengusaha ‘celebrate’.

“Kalau esok kenderaan ini langgar mati, siapa bertanggungjawab? Adakah ahli berhormat yang minta saya soft landing itu akan bertanggungjawab?

“Tekanan banyak. Tiap-tiap hari saya terima memorandum daripada dewan perniagaan, ada persatuan lori nak buat demo di Parlimen. Tapi saya selaku menteri pengangkutan, saya nak nyatakan saya tidak akan berkompromi,” katanya.

Sementara itu dalam ulasan di Facebook, beliau berkata pihaknya memahami ada segelintir wakil rakyat yang mendapat tekanan dari pihak tertentu, namun tegasnya ini adalah soal nyawa.

“Saya memahami ada YB-YB yang menghadapi tekanan daripada pihak-pihak tertentu. Saya juga menerima tekanan dan ugutan. Tetapi ini soal nyawa manusia.

“Sekiranya kita tunduk kepada tekanan seperti yang telah berlaku dalam 10-20 tahun yang lepas, maka usaha untuk menoktahkan amalan lebih muatan akan gagal,” katanya.

Loke berkata, reformasi keselamatan pengangkutan untuk melindungi nyawa rakyat kita adalah jauh lebih bermakna berbanding pertimbangan politik. 

BACA JUGA Krisis Bersatu: Dua lagi ketua bahagian Bersatu jadi korban