Risiko hutang luar negara kekal terkawal, rizab melebihi paras minimum IMF

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan risiko hutang luar negara secara keseluruhan kekal terkawal, disokong oleh profil tempoh matang dan profil mata wang yang baik

Menurut MOF, hutang luar negeri berjumlah RM1.4 trilion atau 69.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setakat akhir suku ketiga 2025.

Paras tersebut dinilai selamat dan tidak memudaratkan prospek ekonomi negara, menurut kementerian itu menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Berdasarkan Debt Sustainability Framework oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), risiko hutang luar negeri boleh memudaratkan sekiranya disertai dengan saiz hutang jangka pendek yang besar, pendedahan yang tinggi terhadap pinjaman dalam mata wang asing serta defisit dalam akaun semasa imbangan pembayaran.

“Risiko ini tidak wujud dalam konteks Malaysia. Dari segi tempoh matang hutang, sebanyak 56.9 peratus hutang luar negeri setakat akhir suku ketiga 2025 terdiri daripada hutang jangka sederhana dan panjang, justeru mengurangkan risiko pembiayaan semula,” kata MOF.

MOF menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) mengenai langkah konkrit yang diambil kerajaan bagi memastikan kemampuan negara menghadapi hutang luar memandangkan rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) sehingga Ogos 2025 hanya berupaya menampung 4.8 bulan keperluan import dan 0.9 kali hutang luar jangka pendek.

Mengulas lanjut, menurut MOF, setakat 31 Oktober 2025, rizab antarabangsa BNM berjumlah AS$123.8 bilion, bersamaan dengan RM521.6 bilion.

Paras rizab tersebut, jelas MOF, adalah melebihi paras ambang kecukupan minimum antarabangsa sebanyak tiga bulan, dan 0.9 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek, kata kementerian itu.

Rizab antarabangsa juga kekal mencukupi pada 104 peratus mengikut metrik Penilaian Kecukupan Rizab oleh IMF yang mengambil kira pelbagai sudut kecukupan rizab secara lebih menyeluruh.

BACA JUGA Status MIC dalam BN dijangka diketahui selepas PRN Sabah