Status MIC dalam BN dijangka diketahui selepas PRN Sabah

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan blok parti itu akan mengadakan perbincangan bersama kepimpinan tertinggi MIC selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah.

Menurutnya, perbincangan tersebut bagi menjernihkan sebarang kekeliruan atau salah faham berkaitan kedudukan MIC dalam BN.

“Saya sendiri akan berusaha untuk berjumpa dengan kepimpinan tertinggi MIC agar kita dapat menyelesaikan segala kekusutan,” katanya kepada pemberita di Membakut, Sabah.

Mohamad berkata, beliau yakin kepimpinan tertinggi MIC akan memikirkan sebaik mungkin kerana parti itu bersama-sama dengan Umno dan MCA semasa memerdekakan tanah air.

“Jadi, jika ada apa-apa salah faham atau perkara yang perlu dijelaskan… elok kita bawa berunding supaya persahabatan yang telah lama terbina ini tidak terputus begitu saja,” katanya.

Terdahulu, Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-79 memutuskan untuk menangguhkan keputusan sama ada parti itu akan keluar atau kekal dalam Barisan Nasional (BN).

Namun, Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran berkata, ketiga-tiga usul termasuk keluar daripada BN telah diterima dan diserahkan kepada pimpinan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).

Tambahnya, perwakilan setiap negeri berhak mengusulkan perkara tersebut, namun keputusannya perlu diteliti CWC terlebih dahulu.

BACA JUGA Ini sebabnya MP Hulu Langat ucap tahniah Putrajaya, takziah Larut