Amaran ribut petir di tengah Semenanjung, Sabah dan Sarawak sehingga malam
Kawasan tengah Semenanjung serta beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak dijangka mengalami ribut petir, hujan lebat dan angin kencang sehingga pukul 7 malam ini.
Amaran cuaca buruk itu dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) melibatkan Perak iaitu Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim.
Di Terengganu, amaran sama melibatkan Dungun dan Kemaman manakala di Pahang sekitar Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh, Kuantan dan Bera.
Dalam masa sama, hujan lebat turut dijangka berlaku di seluruh Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka manakala di Johor melibatkan daerah Tangkak, Segamat dan Muar.
Seterusnya, hujan lebat petang ini dilaporkan tertumpu sekitar Kuching, Samarahan (Samarahan dan Asajaya), Sibu (Sibu), Mukah (Daro dan Matu), Kapit (Belaga), Miri (Telang Usan) dan Limbang di Sarawak turut terjejas.
Bagi negeri Sabah, hujan berterusan melanda Pedalaman, Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu dan Tuaran), Tawau (Tawau, Kunak dan Semporna) dan Sandakan (Tongod) serta Labuan.
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” menurut MetMalaysia lagi.
BACA JUGA Netizen Indonesia hairan jalan raya di Malaysia aman walau trafik sesak