Aset luar negara Malaysia lebih besar dari hutang, apa maknanya?

Oleh NAZRI HAMDAN

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia ialah sebuah ‘net creditor nation’. Apa maksudnya?

Secara mudah, aset luar negara yang dimiliki oleh syarikat Malaysia, bank, institusi kewangan dan para pelabur kita adalah lebih besar daripada jumlah hutang luar negara yang perlu kita bayar.

Ibaratnya, seseorang mempunyai hutang RM10,000 tetapi pada masa yang sama memiliki simpanan RM15,000. Walaupun ada hutang, kedudukannya tetap positif.

NIIP Malaysia (Net International Investment Position atau Posisi Pelaburan Antarabangsa Bersih) kini berada pada RM77.3 bilion, bersamaan 3.9 peratus daripada KDNK.

Ini bermakna kita masih mempunyai lebihan aset luar negara yang boleh menjadi benteng jika ekonomi global bergoncang.

‘Pemberi pinjam bersih’

Faktor yang mengekalkan Malaysia dalam kategori “pemberi pinjam bersih” ialah hakikat bahawa banyak syarikat dan bank tempatan memegang aset luar negara dalam jumlah besar, khususnya dalam denominasi USD.

Oleh itu, apabila negara perlu membuat bayaran komitmen dalam mata wang asing, ia tidak semestinya perlu diambil daripada rizab Bank Negara.

NIIP yang positif juga menunjukkan Malaysia masih mempunyai daya tahan ekonomi yang kukuh walaupun hutang luar mencecah RM1.4 trilion (69.4 peratus daripada KDNK).

Tambahan pula, lebih 56.9 peratus daripada hutang luar tersebut merupakan hutang jangka sederhana dan panjang, menjadikan risikonya lebih rendah untuk dibayar dalam masa terdekat.

PMX turut menegaskan bahawa hutang luar kerajaan sebenarnya kecil, iaitu kurang 3 peratus daripada keseluruhan hutang luar berdenominasi mata wang asing.

Sebahagian besar hutang kerajaan pula adalah dalam ringgit, menjadikan kita kurang terdedah kepada risiko kejatuhan mata wang.

BNM pula memiliki rizab RM521.6 bilion, cukup untuk menampung 4.8 bulan import dan 0.9 kali hutang jangka pendek.

Apabila semua faktor ini digabungkan, jelas bahawa Malaysia berada dalam posisi yang masih kukuh, stabil dan jauh daripada status negara yang bergantung kepada pinjaman luar untuk terus bertahan.

BACA JUGA Kisah swafoto terakhir dengan Alin