Perjanjian ART ‘ikat’ Malaysia tidak benar, Anwar jawab kenapa dakwaan gadai negara tidak berasas

Tuduhan bahawa Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia–Amerika Syarikat (ART) mengikat atau menggadaikan negara tidak berasas sama sekali. 

Hakikatnya kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia kekal bebas menentukan hala tuju perdagangan dan hubungan luar, termasuk dalam sektor nadir bumi, semikonduktor, mata wang dan dasar strategik lain.

“Tidak benar dakwaan kononnya perdagangan nadir bumi kita terbatas kepada Amerika Syarikat. 

“Kita baru saja memeterai kerjasama super magnet dengan Korea, manakala Petronas–Khazanah sedang memuktamadkan usaha sama nadir bumi dengan China. Jika benar kita “terikat”, semua ini pastinya terhenti,” katanya.

Dalam isu semikonduktor, Anwar menegaskan bahawa Malaysia kekal menentukan dasar sendiri, dengan pelaburan Jerman dan China bebas mengeksport cip ke China tanpa sebarang sekatan. 

Justeru katanya, jika Malaysia benar-benar “menggadai” kedaulatan, keputusan ini mustahil berlaku.

Isu mata wang juga jelas apabila ringgit–yuan, ringgit–baht, ringgit–rupiah dan lain-lain tetap diteruskan tanpa halangan tanpa ada satu pun dasar perdagangan Malaysia yang terhenti akibat ART.

Meskipun Amerika Syarikat tidak bersetuju dan mengambil pendirian keras terhadap BRICS, Malaysia tetap hadir dan terlibat. 

“Bahkan saya sendiri akan ke sidang G20 di Afrika Selatan walaupun Amerika memboikot. Ini bukti pendirian kita tidak ditentukan oleh mana-mana kuasa besar.

“Saya tegaskan buat kesekian lagi: ART tidak mengekang, mengikat, atau memaksa Malaysia tunduk kepada Amerika Syarikat. Malaysia kekal merdeka, bebas dan berdaulat. Dasar negara kekal ditentukan oleh kita sendiri!,” tegas beliau lagi.

BACA JUGA Netizen Indonesia hairan jalan raya di Malaysia aman walau trafik sesak