Kisah swafoto terakhir dengan Alin

Swafoto terakhir dengan anak aku, Wan Adlin Nadhilah binti Wan Nasrul Hakim yang aku panggil Alin.

Dia sepatutnya ke majlis konvokesyen Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan di UKM pada Isnin akan datang, 24 November 2025 nanti.

Gambar selfie ini diambil pada hari Khamis 13 November 2025, waktu kami pulang ke Mentakab dari ambil jubah konvo di UKM.

Aku tahu dia suka pandu kereta, dari kecil selalu dia minta nak jadi tukang tukar gear.

Waktu pulang dari UKM itu aku tengok dia tak tidur dalam kereta, biasanya dia tidur bila aku memandu, jadinya aku rasa dia mungkin menunggu aku suruh dia pandu kereta.

Dia pandu dari Tol Karak ke Mentakab. Seronok aku pada waktu itu dapat beri Alin memandu kereta.

Rumah aku di Mentakab, selang dua buah rumah dengan rumah mak dan ayah aku.

Hari Jumaat, aku, isteri aku dan anak keempat aku, Yusuf, ke rumah kami yang satu lagi di Balok, Kuantan. Rumput lalang dah mula naik.

Alin tak ikut sama kerana dia ada program bersama anak ketiga aku, dua orang adik aku, dan sepupu-sepupunya untuk ambil gambar pra konvo pada Sabtu 15 November 2025.

Aku habis meracun rumput pada waktu tengahari Sabtu 15 November 2025.

Petang jam 5:54 petang Sabtu itu, aku dapat panggilan telefon dari adik bongsu aku, mengatakan bahawa kereta Vw Polo yang dipandu adik kedua bongsu aku, Noni, dinaiki oleh Alin dan anak ketiga aku yang aku panggil Baby, serta kawan adik aku, Kak Zana, telah terlibat dalam kemalangan.

Paparan kamera papan pemuka (dashcam) menunjukkan salah satu kereta yang terlibat dalam nahas jalan raya yang meragut nyawa Alin. Penulis merayu pemilik dashcam menghubungi beliau di talian 018-384 2805 untuk menjadi saksi.

Jam 6:12 petang, aku dapat panggilan telefon dari adik lelaki aku, Ustaz Wan Saiful, yang mengatakan Alin telah meninggalkan aku.

Katanya rupa Alin elok sahaja, ibarat tiada kecederaan, Alin pergi dalam keadaan elok.

Aku tarik tangan isteri aku, aku bawa kepada Yusuf, dan aku peluk kedua-duanya, sambil aku tunduk memandang lantai, sambil aku menangis, aku beritakan apa yang berlaku.

Isteri aku menangis sambil menumbuk-numbuk aku, menangis sehingga terbaring atas lantai, Yusuf menangis duduk sambil kaki menendang-nendang.

Aku baru tahu yang aku lemah sebenarnya. Aku tak kuat macam orang lain. Aku tak mampu tampung dugaan itu.

Dua jam lebih aku dan isteri tak tahu nak buat apa, isteri aku hanya menangis, aku sekejap-sekejap menangis, sekejap merenung kosong tak tahu buat apa.

Menangis kuat

Jam 7:23 malam, baru aku ada kekuatan nak beritahu berita itu kepada anak sulung aku, Aishah, yang pada waktu itu sedang berada di utara.

Aishah menangis kuat, aku kata aku akan belikan tiket bas untuk dia pulang ke Temerloh pada malam itu juga.

Lepas Isyak, baru kami dapat kekuatan untuk kemas baju dan beg untuk dimasukkan ke dalam kereta.

Perjalanan dari Balok ke forensik hospital Temerloh, tempat Alin dibedah siasat, ibarat perjalanan yang tiada penghujung, isteri aku menangis sepanjang masa, kadang-kadang kami menangis bersama-sama di dalam kereta.

Sampai ke forensik, bedah siasat masih belum siap, aku pergi tengok Baby di wad kecemasan, Baby hanya patah tulang rusuk, dan kena sembilan jahit di kepala.

Aku bersyukur kerana nampak macam Baby tiada kecederaan yang serius, walaupun Baby masih belum pulih untuk bergerak seperti orang sihat. Tangan tak boleh diangkat tinggi, trauma masih ada.

Alin keluar dari Forensik dalam jam 12 tengah malam, naik van jenazah ke rumah mak dan ayah aku di Mentakab.

Pukul 4 pagi, di ruang tamu rumah mak dan ayah aku, aku cuba buka kain penutup muka Alin, aku renung muka dia, aku cium dahi dia, aku menangis macam budak kecil.

Muka Alin seperti tiada apa-apa cedera, kata doktor yang bedah siasat, badan Alin pun tiada apa-apa cedera, tetapi kerana kepala Alin terhentak kuat, menyebabkan otak Alin cedera, menyebabkan Alin pergi serta merta.

Aku dan Yusuf tidur bersebelahan dengan Alin sehingga Subuh. Aishah sempat sampai pada waktu Subuh.

Alin selesai dimandikan pada lebih kurang jam 11 pagi Ahad 16 November 2025.

Aku imamkan solat jenazah dia, tak pernah aku sangka yang aku akan jadi imam solat jenazah untuk anak aku sendiri. Aku tak pernah pun menjadi imam solat jenazah sebelum ini.

Pengebumian selesai sebelum Zohor.

Jika ada sebarang perbuatan, kata-kata, atau tingkah laku Alin yang pernah menyinggung sesiapa, aku sebagai ayahnya ingin memohon maaf dan mohon dihalalkan segala makan minum, segala gurau senda, dan setiap perbuatan dia.

Jika dia ada berhutang, aku mohon pm untuk aku selesaikan hutangnya.

Aku ucapkan terima kasih kepada semua yang membantu dan berada bersama kami sepanjang detik paling berat dalam hidup kami ini, pihak bomba, polis, hospital, pasukan ambulans, para doktor dan jururawat, serta semua yang terlibat dalam usaha menyelamat.

Terima kasih juga kepada ibu bapa aku, adik beradik aku, rakan-rakan aku dan rakan-rakan Alin yang datang dari dekat atau jauh, jiran-jiran, saudara mara, yang membantu sehingga selesai pengebumian, juga kepada yang menghantar doa, dan kata-kata semangat untuk memberikan kekuatan kepada keluarga kami.

Aku takkan lupakan jasa, kehadiran, dan sokongan kalian. Hanya Allah yang dapat membalas segala kebaikan kalian semua.

Alin… abah rindu Alin.

BACA JUGA Enam negeri dijangka alami hujan berterusan hingga 21 November ini