PRN17 Sabah bergantung pada pengundi muda, ramai belum putuskan calon pilihan
Peningkatan jumlah pengundi muda dijangka akan memberi pengaruh besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Berbanding PRN pada 2020 dengan hanya 1.1 juta pengundi, PRN17 kali ini menyaksikan pertambahan mendadak bilangan pengundi sehingga hampir 1.8 juta, iaitu peningkatan hampir 700,000 pengundi baru.
Ketua Penyelidik ILHAM Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, majoriti pengundi baharu adalah pengundi muda yang akan mengundi kali pertama, sekali gus berupaya mengubah landskap politik Sabah secara signifikan.
“Lebih menarik, sehingga kini ramai pengundi muda masih belum membuat keputusan siapa yang akan diundi, bahkan penyertaan anak muda dalam perarakan penamaan calon juga agak dingin, lebih banyak disertai generasi berusia.
“Temu bual rawak dengan anak muda di jalanan juga menunjukkan ramai belum membuat keputusan.
“Mereka masih dalam mod tunggu dan lihat sebelum membuat pilihan akhir,” katanya dalam satu ulasan disiarkan di akhbar Berita Harian.
Pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu berkata, secara umumnya pengundi muda belum mengikat kesetiaan dengan calon atau parti politik tertentu.Â
Siapa berupaya memancing sokongan anak muda nanti berpotensi untuk muncul sebagai pemenang.
Kerana itu katanya, selain kempen secara bersemuka, calon dan parti bertanding dijangka akan memanfaatkan sepenuhnya media digital secara optimum untuk mendekati kelompok ini
“Dalam konteks Sabah ini, WhatsApp, TikTok dan YouTube diketahui sebagai medium maya utama mereka mendapat maklumat.
“Berbeza dengan pengundi Semenanjung yang rata-rata cenderung mengundi berdasarkan faktor parti, tinjauan awal di Sabah menunjukkan mereka lebih cenderung memilih berdasarkan faktor calon,” ujarnya lagi.
Beliau melihat dapatan ini agak menarik kerana keputusan pengundi untuk membuat pilihan tidak hanya ditentukan berdasarkan prestasi calon sepanjang 14 hari kempen, tetapi turut mempertimbang rekod khidmat sepanjang masa calon.
BACA JUGA PN agak ‘underdog’ di Sabah, tiada poster boy dan tokoh menonjol