Ini sebabnya KBS cadang henti sementara dana FAM

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mencadangkan supaya tiada dana tambahan disalurkan buat sementara waktu kepada pasukan bola sepak kebangsaan sehingga keyakinan pulih dengan pentadbiran FAM.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata langkah itu adalah sebahagian daripada cadangan penambahbaikan berterusan bagi memastikan pembangunan atlet tempatan menjadi keutamaan.

“Buat masa ini, saya hanya boleh mencadangkan supaya tiada lagi dana tambahan disalurkan. Fokus dahulu kepada membantu pasukan kebangsaan dan memastikan penambahbaikan dijalankan,” kata Hannah.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa Kementerian Belia dan Sukan (KBS), di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, isu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung dakwaan pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan mencetus perbahasan hangat di Dewan Rakyat.

Ketika sesi penggulungan, ahli Parlimen di kedua-dua blok dilihat senada dalam mempersoalkan reputasi negara selepas dikaitkan dengan skandal berkenaan.

BACA JUGA Malaysia pecah rekod eksport, lebihan dagangan kekal 66 bulan berturut-turut