Sabah berpotensi besar sebagai pengeluar makanan negara
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berpendapat Sabah mempunyai potensi besar sebagai pengeluar makanan negara, terutama melalui penanaman padi bukit dan padi huma yang menjadi warisan masyarakat di negeri itu.
Beliau yang juga Presiden AMANAH berkata demikian selepas menghadiri Program Libat Urus Bersama Peladang, Penternak dan Nelayan Daerah Sook.
Untuk rekod, Sook terletak di pedalaman Sabah dalam daerah Keningau kira-kira 147 km selatan Kota Kinabalu.

“Seronok dapat bertemu sendiri dengan wira agromakanan negara yang setiap hari memastikan rakyat Malaysia cukup makan.
“Bang Mat turut melancarkan Skim Subsidi Baja dan Racun Padi Bukit/Huma (SBRPB) 2025 dengan peruntukan lebih RM42 juta bagi baja dan RM11.4 juta bagi racun rumpai, membantu meringankan kos input serta meningkatkan hasil pesawah di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Menerusi kenyataan di media rasmi beliau, Mohamad memaklumkan bahawa beliau akan meninjau projek pengairan agar pesawah tidak lagi terbeban ketika musim kering.
“Harapan kita ialah menjadikan padi bukit sebagai komoditi premium dan sumber jaminan makanan negara.
“Insya-Allah, dengan usaha bersama rakyat dan kerajaan, Sabah akan terus muncul sebagai hab penting jaminan makanan negara,” kata beliau lagi.
BACA JUGA Malaysia pecah rekod eksport, lebihan dagangan kekal 66 bulan berturut-turut