Noorita mahu angkat Bahasa Murut, antara janji di dalam manifesto demi Kemabong
Noorita Sual yang bertanding di Kemabong mahu memelihara budaya, adat resam dan Bahasa Murut.
Ia merupakan salah satu perkara utama di dalam manifesto beliau untuk Kemabong.
Selaras dengan itu beliau akan menyokong usaha memelihara dan melestarikan budaya, adat resam dan Bahasa Murut agar ia tidak pupus.
Beliau juga mahu menubuhkan pusat pembelajaran dan pertuturan Bahasa Murut di Kemabong.
Noorita menggunakan slogan Berani Berubah, demi Kemabong.
Kemabong juga akan dinaiktaraf dari pekan kepada daerah sekiranya Noorita menang di dalam pilihan raya negeri Sabah pada 29 Nov.
Dalam isu hak tanah adat pula, Noorita menyokong pengiktirafan tanah adat.
Beliau juga menjanjikan bekalan air bersih ke setiap kampung di Kemabong.
Isu jalan turut diberi perhatian sewajarnya. Noorita akan membaikpulih jalan kampung dan pertanian. Kemudahan lampu solar akan disediakan di kampung.
Industri pertanian tempatan akan diperkukuh dengan pertanian pintar dan tanaman kontan bernilai tinggi.
Kegiatan ekonomi tempatan akan dipergiat dengan pembinaan pasar basah Kemabong, produk “Made in Kemabong” dan sokongan untuk usahawan kecil.
Noorita juga memberikan fokus kepada belia. Antara rancangan beliau untuk mereka ialah rancangan pembinaan kompleks mini sukan Kemabong dan sokongan kepada program belia.
Bantuan kemasukan ke institusi pengajian tinggi juga ditawarkan sebanyak RM500.00, bayaran sekali.
Beliau juga mahu anak tempatan mengisi kekosongan dalam perkhidmatan awam dan pentadbiran.
Untuk golongan rentan pula, bantuan khas untuk warga emas, ibu tunggal dan orang kurang upaya akan disediakan.
Noorita juga menyokong pembangunan rohani institusi keagamaan.
Tumpuan khas turut diberikan kepada gejala sosial – dadah, judi atas talian, arak dan perkahwinan bawah umur.
Kemabong ialah salah satu kerusi di mana PH bertembung dengan GRS dan BN.
Noorita berdepan pertandingan sembilan penjuru di Kemabong pada 29 Nov.
Penyandang Datuk Rubin Balang dari GRS mempertahankan kerusi tersebut.
Beliau menang kerusi tersebut sebagai calon Bebas dengan majoriti 1012 undi pada tahun 2020.