TH jelaskan penolakan tawaran haji berlaku musim lalu, bukan akan datang
Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini tampil memberi penjelasan mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd. Na’im Mokhtar bahawa lebih 50 peratus jemaah telah menolak tawaran menunaikan haji.
TH dalam satu kenyataan berkata, kadar penolakan itu merujuk kepada data musim haji 1446H/2025M, dan bukannya musim haji akan datang.
Kenyataan itu memaklumkan, punca utama penolakan adalah kerana tahap simpanan pendeposit yang rendah, sekali gus menjejaskan kelayakan mereka untuk menerima tawaran mengerjakan ibadah haji.
Justeru bagi memastikan keadaan sama tidak berulang pada musim 1447H/2026M, TH telah mempertingkat usaha mengingatkan bakal jemaah seawal Ogos 2025 agar membuat persediaan rapi dari segi kewangan, kesihatan dan ilmu pengetahuan.
“Usaha proaktif ini merupakan sebahagian daripada inisiatif peremajaan jenama TH dan sehingga kini menunjukkan perkembangan positif.
“Pada masa ini, tawaran haji bagi musim 1447H/2026M masih dikeluarkan secara berperingkat kepada bakal jemaah.
“TH turut menjangkakan kadar penolakan tawaran haji bagi musim akan datang adalah lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya, hasil peringatan awal serta kempen simpanan yang berterusan,” demikian menurut kenyataan itu.
TH menegaskan, bakal jemaah perlu memastikan simpanan minimum RM15,000 di akaun masing-masing untuk melayakkan mereka menerima tawaran atau membuat rayuan haji.
Pada masa sama, TH menggalakkan semua bakal jemaah mengamalkan tabiat menyimpan secara berkala dan sistematik serta menjaga kesihatan diri sebagai persediaan menunaikan rukun Islam kelima itu.