BN janji had dua penggal untuk tempoh khidmat Ketua Menteri Sabah
Barisan Nasional (BN) berikrar untuk mengehadkan tempoh perkhidmatan ketua menteri kepada maksimum dua penggal sekiranya diberikan mandat untuk membentuk kerajaan Sabah selepas pilihan raya pada 29 November.
Cadangan tersebut adalah antara janji yang terkandung di bawah salah satu daripada enam tonggak dalam manifestonya untuk Pilihan Raya Umum Negeri Sabah yang dilancarkan hari ini.
“Reformasi ini bertujuan untuk mengelakkan tumpuan kuasa yang berpanjangan pada mana-mana individu, membuka ruang kepada kepimpinan baharu dan dinamik yang berfokus kepada kepentingan rakyat, serta memperkukuh prinsip-prinsip demokrasi,” menurut dokumen itu.
BN turut berjanji untuk menambah bilangan Ahli Dewan Undangan Negeri lantikan daripada enam kepada 12 bagi mewakili kumpulan minoriti di Sabah.
“Kami mahu memastikan setiap komuniti, tanpa mengira latar belakang, mempunyai wakil yang adil dalam proses penggubalan dasar.
“BN percaya Sabah boleh menjadi model politik inklusif dan saksama yang mengutamakan kebajikan semua rakyatnya.”
Di peringkat Persekutuan, BN juga akan mendesak semakan semula peruntukan 35 peratus kerusi Parlimen di Dewan Rakyat dan Dewan Negara untuk Sabah dan Sarawak.
Gabungan itu berkata langkah ini penting bagi memastikan wakil yang seimbang dan melindungi kepentingan kedua-dua negeri di peringkat Persekutuan.
“BN kekal komited dalam mempertahankan hak politik Sabah dan kedudukannya sebagai rakan setara dalam pembentukan Malaysia.”
BN bertanding di 45 daripada 73 kerusi dalam pilihan raya Sabah tersebut.
BACA JUGA: Ketika Shafie Apdal bertungkus-lumus, orang kanannya menangis dipenjara 6 tahun