ez-TTPM permudah aduan tuntutan pengguna dilancarkan

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan sistem aplikasi ez-TTPM bagi Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) bagi memperkukuhkan akses aduan lebih mudah kepada pengguna.

Sistem aplikasi ez-TTPM akan memudahkan memudahkan proses pemfailan tebus rugi melalui penggunaan teknologi digital yang lebih cekap dan mesra pengguna.

“Pada fasa awal, melalui sistem ini orang ramai boleh memfailkan tuntutan, memuat naik dokumen sokongan dan membuat semakan status kes melalui portal TTPM tanpa perlu hadir secara fizikal ke pejabat TTPM.

“Untuk fasa kedua pula, selain akses melalui portal TTPM, KPDN selanjutnya telah membangunkan aplikasi ez-TTPM yang boleh dimuat-turun menggunakan telefon atau peranti pintar.

Inovasi ini sekali gus mengurangkan kos, masa menunggu, serta memudahkan akses kepada pengguna terutamanya bagi mereka yang berada di kawasan luar bandar,” kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Ali selepas melancarkan Program Jelajah Karnival KPDN dan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) Zon Tengah tahun 2025 di Shah Alam, Selangor.

Sebanyak 9,203 pemfailan membabitkan RM77.2 juta nilai tuntutan telah direkodkan di seluruh negara menerusi pelbagai saluran aduan TTPM sejak Januari sehingga 14 Nov.

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 6,881 kes berjaya diselesaikan.

“KPDN akan kekal komited memberikan perkhidmatan yang cepat, adil dan mesra kepada rakyat sejajar dengan Piagam Pelanggan TTPM, setiap tuntutan akan didaftarkan pada hari yang sama ia difailkan, manakala proses pendengaran dan penyelesaian kes dilaksanakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pendengaran pertama,” katanya.