Kes tiga tender UKM: Lima disoalsiasat
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyoalsiasat lima individu berhubung tiga tender perolehan Universiti Kebangsaan (UKM) Malaysia bernilai RM58.45 juta.
Perkara ini telah dibangkitkan di dalam Laporan Ketua Audit Negara pada Julai.
“Siasatan dijalankan secara komprehensif melibatkan penelitian dokumen, prosedur perolehan serta isu yang dibangkitkan dalam laporan audit.
“Setakat ini, lima individu telah dipanggil untuk membantu siasatan,” kata Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus dalam satu kenyataan.
Kertas siasatan tatakelola turut dibuka bagi menilai tahap kepatuhan pengurusan perolehan UKM terhadap garis panduan yang ditetapkan, tambah beliau.
“Aspek tatakelola tidak boleh dipandang ringan kerana ia menjadi benteng utama mengelakkan ketirisan serta penyalahgunaan kuasa dalam perolehan awam.
“SPRM kekal komited memastikan integriti sistem perolehan negara sentiasa terpelihara dan terus menjalankan siasatan dengan tegas serta profesional,” katanya.
BACA JUGA: Pergolakan dalam Nahdatul Ulama: Bahana jemput Zionis