Banjir makin buruk, 6 PPS mula dibuka di Pulau Pinang dan Perlis

Banjir musim monsun menyaksikan keadaan semakin buruk dengan enam pusat pemindahan sementara (PPS) mula dibuka hari ini di Pulau Pinang dan Perlis.

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 8,698 mangsa membabitkan 3,135 keluarga di enam negeri sedang berlindung di 43 PPS setakat 8 malam ini.

Kelantan paling teruk terjejas dengan pertambahan kepada 7,824 mangsa daripada 2,884 keluarga membabitkan empat daerah di Tumpat, Bachok, Kota Bharu dan Pasir Puteh.

Antara lokasi dinaiki air di Kota Bharu, Kelantan. MET Malaysia telah mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan (buruk) sehingga 24 November di Tumpat,Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh.

Di Terengganu, hanya Besut terjejas banjir setakat ini dengan 381 mangsa membabitkan 114 keluarga berada di dua PPS.

Situasi banjir juga terus meruncing di Kedah dengan 244 mangsa daripada 85 keluarga berlindung di PPS.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah memaklumkan amaran hujan berterusan tahap bahaya dan buruk sehingga 25 November ini.

Negeri-negeri terbabit adalah Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu dan Selangor iaitu di Sabak Bernam.

BACA JUGA PH janji tiada lagi ‘mati karan’ di Sabah