Malaysia–Afrika sepakat martabatkan pendidikan sebagai teras kemajuan insan

Malaysia menegaskan komitmen tegas untuk memperkukuh kerjasama pendidikan dengan negara-negara Afrika, berlandaskan sejarah perjuangan bersama menentang penjajahan serta keyakinan bahawa pendidikan adalah tunggak maruah dan kemajuan insan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian ketika berucap pada Forum Pendidikan Tinggi Malaysia–Afrika 2025, sambil menekankan bahawa pendidikan bukan sekadar urusan komersial, sebaliknya satu pelaburan moral dalam membentuk insan berakhlak dan berjiwa besar.

PM Anwar menyampaikan ucapan semasa Forum Pendidikan Tinggi Malaysia-Afrika 2025 di Nairobi, Kenya semasa lawatan rasmi beliau ke Republik Kenya hari ini.

Menurutnya, Malaysia dan Afrika berkongsi aspirasi sama untuk memastikan generasi muda mampu melakar masa depan yang bermakna dalam dunia yang bergerak pantas, khususnya melalui bidang inovasi dan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI).

“Kerjasama dalam pendidikan, inovasi serta AI mesti diperkasa agar anak muda Afrika dan Asia mampu menongkah arus dan membina masa depan yang bermanfaat,” katanya di Nairobi.

Beliau turut menegaskan komitmen Malaysia untuk memperluas pertukaran bakat dan kemahiran, meningkatkan kerjasama antara universiti serta memastikan akses pendidikan yang lebih adil merentas sempadan.

“Bersama rakan-rakan dari Kenya dan seluruh benua Afrika, kita teguh berada di landasan ini demi membina masa depan yang inklusif dan berteraskan kecintaan terhadap ilmu,” kata Perdana Menteri lagi menerusi hantaran di media sosial rasmi beliau malam ini.

Kenya yang terletak di bahagian timur Afrika menjadi singgahan terakhir Perdana Menteri dalam rangka lawatan rasmi ke tiga negara di benua itu.

Anwar dan Presiden Kenya, Dr William Samoei Ruto turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman dan dokumen kerjasama, termasuk dalam pelancongan, serta antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Majlis Bandaraya Nairobi.

Pada 2024, Kenya adalah rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di Afrika, dengan jumlah perdagangan mencecah RM5.7 bilion, peningkatan sebanyak 1.2 peratus daripada RM5.51 bilion pada tahun sebelumnya.

BACA JUGA Banjir kian memburuk, lebih 15,000 mangsa berlindung di 97 PPS