Penjajahan moden masih wujud di Gaza, seruan kepada Kerajaan Malaysia untuk bertindak
OLEH RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH
Pada 17 November 2025, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah meluluskan Resolusi 2803 yang pada hakikatnya menubuhkan Gaza Trusteeship – Lembaga Pemegang Amanah bersama pengukuman “gencatan senjata”.
Ia disambut baik oleh masyarakat dunia, namun ramai tidak menyedari implikasi yang lebih mendalam dan menyeluruh terhadap rakyat Palestin.
Gencatan senjata yang kononnya dialu-alukan itu — tetapi tidak dipatuhi sepenuhnya oleh Israel — telah menutup niat tersembunyi yang licik dalam bentuk trusteeship tersebut.
Ditambah penubuhan Board of Peace (Lembaga Pengaman) yang dipengerusikan oleh Presiden Trump, ditadbir oleh bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair, dan dianggotai tokoh-tokoh Barat yang lain.
Seperti yang dinyatakan Profesor Ralph Wild, Profesor Undang-Undang Antarabangsa, Fakulti Undang-Undang, University College London, trusteeship ini berdasarkan tradisi Barat untuk ianya kelihatan lebih berperikemanusiaan mengikut amalan penjajahan Barat.
Trusteeship ini kononnya akan menggantikan lebih setengah abad pemerintahan brutal Israel yang berakar pada diskriminasi kaum, apartheid dan pembunuhan beramai-ramai.
Sesebuah trusteeship lazimnya menggambarkan rakyat yang dianggap seperti “kanak-kanak” dan tidak mampu mengurus diri, manakala pentadbirnya pula “lebih dewasa” seperti Donald Trump, Tony Blair dan pemimpin Barat lain.
Ini jelas satu tindakan rasis yang memalukan dan menghina, kerana kita tahu rakyat Palestin ialah masyarakat yang sangat tahan lasak, pintar dan mampu mentadbir dengan kehadiran rakyat Palestin berkelulusan tinggi di seluruh dunia.
Pemilihan bekas Perdana Menteri Tony Blair sebagai ikon campur tangan liberal Barat, dengan latar belakang pengalaman penjajahan British dan Eropah di Afrika dan Arab di bawah sistem trusteeship kononnya ke atas masyarakat yang “tidak mampu mengurus diri”, dilihat sangat “sesuai”.
Seperti yang dijelaskan oleh Profesor Ralph Wild, inilah tradisi Barat dalam “membuat penjajahan kelihatan seolah lebih berperikemanusiaan”.
Ia telah digunakan Eropah terhadap Afrika pada Persidangan Berlin abad ke-19, kemudian oleh Liga Negara Negara (League of Nations) selepas Perang Dunia Pertama, dan seterusnya oleh PBB selepas Perang Dunia Kedua.
Maka tradisi penjajahan itu berterusan hingga ke hari ini.
Ketika negara-negara Barat kononnya memperjuangkan pembebasan wanita di Afghanistan dan bertekad “membebaskan” China daripada komunisme, mereka pada masa sama mengenakan penjajahan moden dalam bentuk trusteeship yang diselimuti nama indah Board of Peace di Gaza.
Sebelum trusteeship kolonial itu ditubuhkan — menggunakan nama muluk Board of Peace — Zionis Israel telah lebih awal menyediakan rangka kerja terperinci untuk menghancurkan struktur masyarakat Gaza mengikut strategi klasik penjajah iaitu pecah dan perintah.
Sebelum pengumuman gencatan senjata pada 10 Oktober 2025, tentera Israel telah pun “membahagikan” Gaza kepada:
• Zon Hijau: dikawal tentera Israel
• Zon Merah: tempat pelarian Palestin dipindahkan dan ditempatkan
Kedua-dua zon dipisahkan oleh “garisan kuning” yang tidak kelihatan serta kabur dan arbitrari, di mana rakyat Palestin yang keliru ditembak setiap hari kerana melintasinya.
Taktik ini adalah salinan langsung strategi pecah dan perintah British-Eropah yang kini ditadbir oleh Tony Blair.
Kerja jahat yang terancang ini diperkukuh dengan pembekalan senjata kepada militer tempatan yang bermusuhan untuk melawan Hamas, yang akan memecah-belahkan Gaza menjadi banyak enklaf berasingan.
Terhasilnya komuniti kecil yang berpecah ini menyerupai tindakan kolonial British di Tanah Melayu – Malaya, yang mewujudkan “kampung baru” untuk mengekang dan mengasingkan gerila antikolonial pada 1950-an.
Hal yang sama berlaku apabila Amerika Syarikat menubuhkan “strategic hamlets” di Vietnam pada 1960-an.
Semua ini telah dirancang terlebih dahulu oleh Israel dan bakal penjajah Barat yang memasuki Gaza sebagai anggota Board of Peace.
Tanpa orang tengah yang benar-benar jujur,.ikhlas untuk bekerja ke arah keamanan sebenar — dan selagi Amerika yang dipengaruhi Zionis serta British yang menjadi arkitek asal penubuhan Israel melalui Deklarasi Balfour terus memegang naratif — Palestin tidak akan bebas.
Kami mendesak kerajaan Malaysia dan negara-negara Islam lain yang semuanya pernah menjadi mangsa penjajahan — untuk bertindak, membetulkan atau sekurang-kurangnya mengurangkan penderitaan rakyat Palestin akibat konspirasi untuk memecah-belah Gaza dan meneruskan penjajahan yang kejam oleh kuasa besar kolonial Barat yang kini menjejak kaki ke Gaza bersama Zionis Israel.
Raja Bahrin Shah merupakan Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH.