Selangor pula dinaiki air, 5 daerah terjejas, paras sungai alami trend menaik

Banjir di Selangor yang semalam menyebabkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Sabak Bernam kini turut melanda Klang, Shah Alam, Hulu Langat dan Kuala Selangor.

Kawasan sekitar Maybank Taman TTDI Jaya, Shah Alam dinaiki air ekoran hujan lebat sejak semalam.

Seramai 333 mangsa banjir daripada 111 keluarga kini berlindung di 11 PPS setakat jam 4.12 petang ini, menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Klang menyaksikan jumlah mangsa paling ramai iaitu 110 mangsa membabitkan 41 keluarga dengan dua PPS telah dibuka.

Sementara itu, paras air di Sungai Langat di Bukit Changgang (Kuala Langat), Sungai Bernam di Jambatan SKC (Hulu Selangor), Sungai Binjai di Pekan Meru (Klang), Sungai Bakul di Kampung Budiman (Petaling) dan Sungai Langat di Jenderam Hilir (Sepang) direkodkan melepasi tahap bahaya dengan trend menaik sehingga jam 4 petang tadi.

Menurut data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui portal Public InfoBanjir, stesen Sungai Langat di Dengkil, Sepang mencatat paras 7.18 meter, melebihi paras amaran 6.9 meter dengan trend meningkat.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula menjangkakan Selangor meliputi Klang, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang akan mengalami hujan lebat sehingga jam 7 malam ini.

BACA JUGA Benteng runtuh lagi, ‘YB air oren’ memang ada tangan emas