Syarikat pelaksana projek hakisan pantai dipengerusikan Exco Terengganu
Syarikat pembinaan dan kuari, GPQ Sdn. Bhd. yang melaksanakan projek pengawalan hakisan pantai di Kuala Nerus, Terengganu dipengerusikan oleh Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim.
Perkara tersebut dimaklumkan menerusi hantaran di Facebook rasmi GPQ Sdn. Bhd. yang merupakan anak syarikat Terengganu Inc.
Berdasarkan hebahan itu, Hishamuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh telah mengadakan lawatan ke tapak projek tersebut pada 30 Oktober lalu.

“Lawatan ini bertujuan untuk meninjau kemajuan pelaksanaan projek serta memastikan setiap fasa kerja berjalan dengan lancar dan menepati piawaian kualiti yang ditetapkan.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen GPQ dalam melaksanakan projek-projek pembangunan infrastruktur pesisir yang bukan sahaja berkualiti, tetapi turut memberi impak positif kepada komuniti setempat dan kelestarian alam sekitar.
“Kehadiran Lembaga Pengarah dalam lawatan ini turut memperkukuh peranan kepimpinan strategik GPQ dalam memastikan setiap projek dilaksanakan dengan berintegriti, cekap dan mampan demi manfaat Bersama,” menurut hantaran di laman rasmi GPQ Sdn. Bhd. itu.
Bagaimanapun, posisi Hishamuddin yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti al-Azhar sebagai Pengerusi GPQ itu dipersoal banyak pihak.
Dalam masa sama, wujud juga kebimbangan mengenai konflik kepentingan memandangkan Hishamuddin memiliki pengaruh membuat keputusan sama ada dalam dasar negeri dan korporat.
“Bila masa mung jadi kontraktor?” tempelak bekas Pengerusi AMANAH Kawasan Marang, Miqdad Zakaria.
Selain itu, netizen turut berharap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka fail siasatan.
Semakan mendapati Terengganu Inc adalah pemegang saham utama GPQ Sdn. Bhd. sebanyak 97.87 peratus.
BACA JUGA Banjir kian memburuk, lebih 15,000 mangsa berlindung di 97 PPS