27,361 calon SPM 2025 di Kelantan ketika banjir melanda

Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 bermula hari ini termasuk 27,361 calon di Kelantan ketika banjir sedang melanda negeri ini sejak beberapa hari lalu.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Siti Norina Muhamad berkata, kesemua calon SPM 2025 di 10 daerah di negeri itu menjawab soalan di 286 pusat peperiksaan.

“Pusat-pusat peperiksaan itu melibatkan sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, SABK, Maktab Rendah Sains Mara, sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan dan calon persendirian.

“Selain itu, 10 pusat peperiksaan alternatif diaktifkan sekiranya banjir berlaku di semua daerah.

“Setakat ini hanya satu sahaja pusat peperiksaan alternatif di SMKA Falahiah yang dibuka melibatkan pelajar SABK Nurul Huda Kajang Sebidang,” katanya pada sidang akhbar selepas menyantuni calon SPM 2026 di SMK Sultan Ismail di Kota Bharu pagi ini.

Beliau memaklumkan seramai 100 calon di tiga daerah di Kelantan terjejas ekoran banjir.

Daripada jumlah itu, jelasnya, seramai 56 calon terdiri daripada pelajar Sekolah Menengah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Nurul Huda Kajang Sebidang, Tumpat ke asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Falahiah.

Menurutnya, seramai 29 calon ketika ini berada di pusat pemindahan sementara (PPS) apabila kawasan rumah mereka terjejas banjir dengan pecahannya iaitu 12 calon di Tumpat, Bachok (11) dan Kota Bharu enam calon.

“Selain itu, seramai 15 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kutan di Tumpat dipindahkan ke asrama SMK Mahmud Mahyidin bagi memudahkan urusan mereka sepanjang SPM.

“Pelajar yang ditempatkan di SMK Mahmud Mahyidin dibawa menggunakan trak tentera untuk menjawab peperiksaan di sekolah asal mereka pada pagi ini,” katanya.

Tambahnya, kebanyakan calon yang terjejas banjir didapati akur untuk tinggal di asrama dan terdapat juga pelajar berpindah ke rumah saudara-mara terdekat bagi memudahkan pergerakan mereka ke pusat peperiksaan.

BACA JUGA PM Anwar pantau rapat nasib rakyat diuji banjir besar walau jauh di Kenya