Ini jumlah wang dari cukai SSB yang digunakan untuk rawatan diabetes

Sebanyak RM25 juta daripada kutipan duti eksais ke atas minuman manis (SSB) telah disalurkan kepada Kementerian Kesihatan untuk melaksanakan program advokasi War on Sugar, ubatan dan rawatan berkaitan diabetes.

“Pada tahun 2025, Kerajaan telah menyalurkan sebanyak RM25 juta daripada kutipan duti eksais ke atas SSB kepada KKM bagi melaksanakan program advokasi War on Sugar, pembelian ubat SGLT-2 untuk merawat pesakit Diabetes Mellitus dan menyediakan kemudahan Dialisis Peritoneal untuk merawat pesakit buah pinggang tahap akhir.”

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata demikian dalam jawapan bertulisnya kepada Suhaizan Kaiat (PH-Pulai).

“Bagi tempoh dari 1 Julai 2019 hingga 31 Disember 2024, jumlah kutipan duti eksais ke atas SSB adalah sebanyak RM447.54 juta.

“Dari Januari sehingga November 2025, kutipan duti ini berjumlah RM73.81 juta, menjadikan jumlah keseluruhan hasil duti eksais ke atas SSB sebanyak RM521.35 juta. Kesemua hasil ini telah dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan, selaras dengan Perkara 97 Perlembagaan Persekutuan.”