Nurul Izzah Sebagai MB Selangor: Reformasi atau Langkah Kajang 2.0?

Dr Ahmad Zaharuddin Sani Sabri

Cadangan terbaru oleh Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor merangkap Naib Presiden PKR, bahawa Nurul Izzah Anwar layak menjadi Menteri Besar Selangor, telah mencetuskan perdebatan hangat.

Bagi sesetengah pihak, ia dilihat sebagai langkah berani untuk menampilkan wajah baharu dalam kepimpinan negeri terkaya di Malaysia.

Namun bagi pengkritik, cadangan ini tidak lebih daripada bayangan Langkah Kajang 2.0 — percubaan politik dinasti yang berisiko mengulangi kegagalan lalu.

Bayangan Langkah Kajang yang Gagal

Kita tidak boleh melupakan sejarah Langkah Kajang pada tahun 2014. Strategi itu digerakkan untuk menyingkirkan Tan Sri Khalid Ibrahim dan membuka jalan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atau sekurang-kurangnya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar.

Namun, ia berakhir dengan kegagalan kerana Sultan Selangor menolak Wan Azizah sebagai calon. Akhirnya, Datuk Seri Azmin Ali dilantik sebagai Menteri Besar.

Pelajaran penting daripada episod itu ialah: kuasa melantik MB bukan di tangan parti semata-mata, tetapi prerogatif Sultan. Jika calon dilihat tidak sesuai, walaupun mendapat sokongan parti, Sultan boleh menolak.

Maka, cadangan menjadikan Nurul Izzah MB kini seakan mengulang sejarah — percubaan politik dinasti yang boleh berdepan penolakan institusi diraja dan rakyat.

Kuasa Sultan dan Risiko Nepotisme

Perlembagaan negeri jelas: Sultan mempunyai kuasa mutlak untuk menilai calon MB berdasarkan sokongan majoriti ADUN. Walaupun PKR boleh mencadangkan, keputusan akhir tetap di tangan Sultan.

Jika calon dilihat terlalu sarat dengan unsur nepotisme, risiko penolakan semakin tinggi. Hakikatnya, Nurul Izzah ialah anak Perdana Menteri.

Walaupun Amirudin berhujah bahawa melantik beliau sebagai MB lebih “bersih” daripada memasukkannya ke Kabinet, tuduhan nepotisme tetap wujud. Malah, ia lebih tajam kerana Selangor adalah kubu strategik PKR.

Krisis Bakat dalam PKR Selangor

Cadangan ini secara tidak langsung mendedahkan kelemahan grooming kepimpinan PKR di Selangor. Selepas lebih dua dekad reformasi, mengapa parti masih bergantung kepada anak Presiden untuk memimpin negeri?

Jika benar PKR mahu menonjolkan meritokrasi, sepatutnya tokoh muda lain yang digilap dari akar umbi diberi peluang. Dengan menamakan Nurul Izzah, mesej yang dihantar ialah PKR lebih percaya pada darah Anwar daripada bakat akar umbi. Ini melemahkan naratif reformasi yang menjadi asas perjuangan parti.

Kawasan Mana Nurul Izzah Akan Bertanding?

Persoalan besar yang belum terjawab: kawasan mana Nurul Izzah akan bertanding jika benar mahu menjadi MB?

Beliau kini bukan ADUN Selangor. Untuk dilantik sebagai MB, beliau mesti bertanding kerusi DUN. Namun, rekod politik beliau ialah di Lembah Pantai (Parlimen) dan Permatang Pauh — kedua-duanya bukan di Selangor.

Jika beliau masuk ke DUN Selangor, ia akan dilihat sebagai “parachute candidate”. Risiko penolakan akar umbi sangat besar kerana beliau tidak mempunyai akar politik di negeri itu. Selangor bukan sekadar pentas politik biasa; ia negeri paling kompleks dari segi demografi dan ekonomi. Adakah rakyat sanggup menerima calon import sebagai pemimpin negeri?

Strategi Amirudin Shari: Exit atau Elevation?

Cadangan ini juga boleh dibaca sebagai strategi Amirudin sendiri. Beliau mungkin berhasrat untuk “exit” ke peringkat persekutuan, dan dengan menamakan Nurul Izzah sebagai pengganti, beliau memastikan penggantinya bukan pesaing dalaman, tetapi seseorang yang membawa kesinambungan dengan pusat.

Namun, langkah ini juga boleh dilihat sebagai strategi melemahkan PKR Selangor. Dengan bergantung kepada dinasti, parti berisiko kehilangan kredibiliti sebagai parti reformasi.

Reformasi atau Dinasti?

Cadangan menjadikan Nurul Izzah MB Selangor membuka semula luka lama Langkah Kajang. Ia menimbulkan persoalan besar tentang meritokrasi PKR, kelemahan grooming kepimpinan negeri, serta strategi survival parti.

Jika benar mahu elak nepotisme, PKR sepatutnya menonjolkan tokoh bukan keluarga Anwar. Selangor bukan pentas latihan keluarga, tetapi negeri strategik yang menuntut kepimpinan berwibawa.

Kritikalnya, cadangan ini boleh menjadi turning point sama ada PKR dilihat sebagai parti reformasi yang melahirkan bakat baru, atau parti yang mengulang sejarah UMNO dengan wajah baharu.