PH Sabah tekankan agenda 30% penyertaan wanita dalam Kabinet, kepimpinan tempatan
OLEH A. ZAHID
Pelancaran Komitmen Pakatan Harapan Sabah di Kepayan pada 24 November 2025 membawa mesej besar bahawa Sabah memerlukan kepimpinan yang adil, progresif dan berani memberi ruang kepada wanita.
Dalam kenyataan medianya, Pengerusi Wanita Pakatan Harapan Sabah, Jannie Lasimbang menegaskan agenda 30 peratus penyertaan wanita dalam Kabinet Sabah, kepimpinan GLC dan jawatan pemimpin tempatan bukan sekadar angka tetapi kompas hala tuju politik baharu yang lebih inklusif.
Pengumuman oleh Pengerusi Pakatan Harapan Sabah, Datuk Mustapha Sakmud yang menyentuh hak Sabah, reformasi pentadbiran, akauntabiliti, aspirasi anak muda, rangsangan ekonomi, kerjasama kerajaan Persekutuan dan Sabah serta pemerkasaan wanita dirasakan tepat pada waktunya.
Di tengah keletihan rakyat terhadap politik lama yang penuh perebutan kuasa, komitmen ini memberi harapan bahawa pentadbiran boleh kembali berlandaskan integriti dan kesejahteraan rakyat.
Sebagai pemimpin wanita, Jannie menekankan bahawa wanita Sabah telah lama menjadi tulang belakang keluarga, penjaga masyarakat dan penyumbang kepada ekonomi negeri.
Namun peranan mereka di pentas politik sering disempitkan kepada simbol sokongan atau kerja di belakang tabir.
Pengiktirafan 30 peratus bukan tokenisme tetapi pengakuan terhadap keupayaan wanita sebagai penggubal undang-undang dan pembuat dasar.
Dari sudut politik semasa, sasaran 30 peratus bukanlah angka rawak.
Ia merupakan critical mass atau ambang yang diperlukan untuk menghasilkan perubahan dasar yang berkekalan.
Apabila bilangan wanita dalam kepimpinan mencukupi, keputusan tidak lagi ditentukan oleh suara minoriti tetapi oleh perspektif seimbang yang mewakili realiti sosial seluruh rakyat.
Penetapan 30 peratus juga membuka ruang luas kepada pemimpin lelaki untuk tampil sebagai male champions.
Pakatan Harapan mengangkat idea bahawa pembinaan landskap politik beramanah tidak memerlukan pertarungan jantina tetapi kerjasama yang berpaksikan keadilan sosial demokrasi kebebasan dan keterangkuman gender.
Wanita sebagai pemimpin membawa sudut pandang berbeza.
Mereka lebih dekat dengan isu kanak-kanak warga emas golongan OKU dan kumpulan rentan yang sering terpinggir dalam perdebatan kuasa.
Jika suara mereka dibawa ke dalam institusi, Sabah tidak hanya diperintah tetapi diurus untuk kesejahteraan sebenar rakyatnya.
Di penghujung kenyataan, Jannie mewakili gabungan wanita DAP PKR dan AMANAH menyeru pengundi Sabah agar membuat pilihan matang pada 29 November.
Di sinilah peluang memilih mereka yang benar-benar membawa suara rakyat ke Dewan Undangan Negeri.
Bagi Jannie, mandat itu bukan semata-mata tentang politik tetapi amanah untuk wanita dan untuk Sabah.
BACA JUGA Malaysia perkasa usaha terbit al-Quran pelbagai bahasa untuk dunia