Shamsul Iskandar letak jawatan Setiausaha Politik Anwar
Setiausaha Politik kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Shamsul Iskandar Mohd Akin meletakkan jawatannya hari ini
Surat peletakan jawatan beliau telah diserah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi tadi.
Dalam perkongsian di X, Shamsul berkata peletakan jawatannya itu berikutan terdapat percubaan untuk menyerang beliau dengan isu yang boleh menjejaskan imej Kerajaan MADANI
“Saya difahamkan ada percubaan untuk menyerang saya dengan perkara yang boleh merosakkan imej kerajaan Madani.
“Justeru saya mengambil keputusan untuk mempertahankan diri saya daripada serangan ini.
“Saya juga pagi tadi telah menyerahkan surat peletakan jawatan saya kepada YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saya mengucapkan terima kasih kepada YAB PM di atas kepercayaan yang diberikan kepada saya,” katanya.
Tidak pasti ia berhubung isu apa, namun minggu lalu Shamsul terpalit satu dakwaan bahawa beliau telah menulis surat sokongan untuk enam kontraktor dalam projek pembinaan sebuah hospital tahun lalu.
Dakwaan itu didedah Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli sebelum ini yang menggesa agar Shamsul dipecat.
BACA JUGA PRN Sabah: Mahathir dakwa ada ‘tokoh’ miliki bukti ‘pembantu kerajaan’ rasuah