Tiga pembohongan isu projek kawal hakisan pantai di pantai Kuala Nerus terbongkar
Pihak yang menyerang Kerajaan Persekutuan berhubung isu “projek runtuh” di Terengganu dikatakan mula “memperlahankan pembohongan” selepas pentadbir laman Facebook Greater Terengganu Development (GTD) mendedahkan surat seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

GTD mendakwa selepas pendedahan itu, beberapa laman sosial yang dikenal pasti sebagai lantikan politik mula memperlahankan naratif yang sebelum ini cuba menafikan penglibatan kerajaan negeri Terengganu dalam projek berkenaan.
“Mereka telan ludah sendiri. Akhirnya, mengaku projek runtuh itu projek kerajaan negeri,” tegas pentadbir GTD.
Menurutnya, pembohongan pertama, kononnya kerja pembaikan dijalankan menggunakan dana kerajaan negeri tanpa sokongan kerajaan Persekutuan.
Namun, GTD menyatakan bahawa projek itu menggunakan peruntukan Sistem Maklumat Rekod-rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) iaitu dana tahunan yang disalurkan kerajaan pusat untuk penyelenggaraan dan pembaikan jalan oleh kerajaan negeri.
“Kerajaan pusat salurkan dana, tapi mereka kata pusat tak bagi duit,” tegasnya.

Jelas GTD, pembohongan kedua pula adalah projek pengawalan hakisan pantai di pantai Kuala Nerus diberi melalui runding terus kerana memerlukan tindakan segera dan tidak boleh menunggu proses tender.
Namun, jika rundingan terus dibuat, kontraktor sepatutnya mempunyai kepakaran dan rekod kerja kukuh untuk projek seumpama itu.
“Tapi kalau dah dua kali runtuh, maknanya apa? Pakar lagi ke?” tempelak pentadbir GTD tersebut.

Selain itu, jelasnya, pembohongan ketiga pula apabila naratif menyalahkan projek pemecah ombak.
GTD menolak dakwaan bahawa kegagalan projek sebelum ini kerana projek pemecah ombak di tengah laut belum disiapkan.
Jelasnya, kerajaan pusat yang mengambil alih pentadbiran pada November 2022 telah meletakkan projek pemecah ombak Batu Rakit sebagai projek keutamaan, dan ia berjaya direka bentuk, ditender serta dimulakan dalam tempoh kurang setahun dengan kos RM69.9 juta.

Bagaimanapun, GTD mendedahkan sesuatu yang lebih besar iaitu kontraktor bagi projek pemecah ombak itu ialah GPQ Sdn. Bhd., sebuah anak syarikat milik kerajaan Terengganu sendiri.
Pengerusinya ialah Hishamuddin Abdul Karim, ADUN Tepoh merangkap Exco Belia dan Sukan.
“Jadi, kenapa nak kutuk pemimpin sendiri? Tak baik,” sindir GTD.
Sehubungan itu, GTD menegaskan, pendedahan itu membuktikan bahawa kerajaan pusat tidak pernah menganaktirikan Terengganu.
Malah, kontrak bernilai jutaan ringgit turut diberikan kepada anak syarikat kerajaan negeri bagi memastikan manfaat ekonomi kembali kepada rakyat Terengganu.
“Tak malukah masih meratib anak tiri dan memfitnah orang?” tulis GTD lagi.
BACA JUGA Syarikat pelaksana projek hakisan pantai dipengerusikan Exco Terengganu