Dakwaan bercelaru dan tiada bukti, nama PMX cuba ditempel dalam isu peribadi

Timbalan Ketua Penerangan PKR Pahang, Norman Daud menempelak naratif liar dan tanpa bukti kukuh dalam video yang tular baru-baru ini.

Beliau menyifatkannya sebagai bercelaru, tidak selari dan penuh percanggahan apabila cuba mengheret nama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa sebarang asas.

Menurutnya, dakwaan wanita dalam rakaman itu kononnya arahan merakam datang daripada Anwar dan bahawa PMX akan menjadi pihak “paling untung” langsung tidak masuk akal.

Pada masa sama, hujahnya, individu itu sendiri mengakui bahawa semua wang yang disebut, masuk ke poket peribadi seorang setiausaha politik.

“Dalam video itu dia sendiri kata duit digunakan untuk ubah suai rumah, melancong ke London, bawa keluarga, tempah baju tailored.

“Semua itu jelas bukan manfaat kepada PMX, malah tak ada satu sen pun yang boleh dikaitkan kepada beliau.

“Di sinilah kita nampak dengan jelas percanggahan besar dalam dakwaan tersebut,” katanya menerusi hantaran di Facebook pagi ini.

Percubaan terdesak

Jelasnya, percanggahan ketara itu membuktikan wujud percubaan terdesak untuk mengheret nama Perdana Menteri dalam isu yang sebenarnya bersifat peribadi, bukan nasional.

“Kalau wang digunakan untuk tujuan peribadi seseorang, bagaimana tiba-tiba PMX yang dikatakan ‘untung’?

“Naratif itu tidak selari dari sudut logik, sebab-akibat mahupun asas fakta,” tegasnya.

Norman menambah bahawa dalam dunia politik, taktik menggunakan nama tokoh besar bagi menambah kredibiliti diri sering digunakan oleh pihak tertentu, terutama apabila tiada bukti yang boleh dikemukakan.

“Sesiapa pun boleh sebut ‘ini arahan PMX’. Tetapi bila diminta bukti – tiada. Tiada mesej, tiada log panggilan, tiada Whatsapp, tiada audio.

“Yang ada cuma dakwaan lisan daripada individu yang mengaku duit itu digunakan untuk kepentingan peribadi pihak lain,” tempelaknya.

Justeru, Ketua Penerangan PKR Cabang Bera berkenaan menyifatkan rakaman tular itu tidak lebih daripada usaha mengalihkan isu peribadi kepada sentimen yang cuba menjatuhkan imej Perdana Menteri.

“Ia bukan nak mencari kebenaran, tetapi nak membentuk persepsi jahat.

“Tuduhan perlu dibuktikan, bukan dipaksa untuk dipercayai melalui rakaman separuh masak dan cerita yang tidak konsisten,” tegas Norman lagi.

BACA JUGA Pas bukan ‘jamaah Islam’, penyelewengan maksud hadis perlu diperbetul