Pas bukan ‘jamaah Islam’, penyelewengan maksud hadis perlu diperbetul
Sikap pimpinan Pas yang sering memonopoli Islam dan menuduh hanya parti mereka layak digelar “jamaah Islam” dikritik Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Wira Dr Khairuddin Takiri.
Dalam satu kenyataan, beliau menyelar kecenderungan Pas khususnya kelompok ustaz keluaran Jordan dan Mesir yang didakwa sering mengindoktrinasi ahli bahawa Pas ialah “jamaah Islam” yang disebut dalam hadis.
Naratif tersebut, kata bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus itu, bukan sahaja salah daripada sudut ilmu, malah satu bentuk penyelewengan agama yang wajib diperbetulkan.
Menurutnya, fahaman sempit itu telah lama ditegur oleh tokoh besar gerakan Islam seperti Sai’id Hawa, Dr Muhammad Abu Faris dan Dr Yusof al-Qaradawi.

Malah, petikan Said Hawa yang dikongsikan beliau jelas menolak idea bahawa Islam hanya terhad kepada satu kumpulan seperti Ikhwan, apatah lagi sebuah parti politik.
“Tidak pernah terlintas di fikiranku bahawa Islam hanya terhad kepada Ikhwan Muslimin,” tulisnya memetik kenyataan Said.
Justeru, bekas Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas berkenaan mengingatkan bahawa “jamaah Muslimin” dalam hadis merujuk kepada seluruh umat Islam di bawah pimpinan ketua negara.
Jelasnya, dalam konteks Malaysia, Yang di-Pertuan Agong, bukannya sebuah parti politik seperti Pas yang gemar mendabik dada sebagai satu-satunya pewaris Islam.
Beliau menegaskan bahawa parti-parti seperti Pas, AMANAH, UMNO, Berjasa mahupun NGO Islam seperti Abim, Ikram, Isma, Haluan dan tabligh hanyalah kumpulan kecil dalam gerakan dakwah, bukan “jamaah Islam” yang menentukan siapa Islam dan siapa tidak.
‘Kurang Islam’
Dalam masa sama, beliau secara terbuka menempelak sikap Pas yang melihat sesiapa di luar parti sebagai kurang Islam, tidak istiqamah, atau tidak serius memperjuangkan agama walaupun ramai daripada mereka lebih berilmu, lebih bertakwa dan lebih aktif dalam kerja dakwah.
Katanya, hal itulah bahana ajaran usrah sesetengah kelompok Pas yang membesarkan diri sendiri hingga muncul pemikiran sempit dan memecahbelahkan umat.
Lebih parah, beliau menyindir sikap Pas yang sering mengangkat individu biasa sebagai “ulama” hanya kerana melafazkan retorik parti, sedangkan mereka tidak menguasai bahasa Arab, tidak membaca kitab turath, dan jauh daripada standard keilmuan sebenar.
Sehubungan itu, Dr Khairuddin yang telah mengumumkan pendiriannya keluar dari Pas pada 14 Mac 2022, menegaskan bahawa setiap Muslim bebas menganggotai mana-mana parti atau NGO yang menyeru kepada kebaikan.
BACA JUGA Syarikat pelaksana projek hakisan pantai dipengerusikan Exco Terengganu