Penduduk Kg Tongkalloh sambut meriah kehadiran pimpinan AMANAH Nasional

FOTO BERITA: Ziarah Kasih rumah ke rumah bersama Timbalan Presiden Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa dan calon N.64 Sulabayan Uts Zulfiqar Ab Mijan di Kg Tongkalloh, Pulau Bum Bum, Semporna, Sabah. 25hb November 2025 (Selasa)

Program Ziarah Kasih & Bual Bicara Santai yang berlangsung di Kampung Tongkalloh, Pulau Bum Bum hari ini menerima kunjungan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa, Datuk Lahirul Latigu Pengerusi Negeri bersama calon N.64 Sulabayan, Uts Zulfiqar Ab Mijan.

Kehadiran pimpinan nasional dan calon kawasan itu disambut meriah oleh penduduk kampung yang mengambil peluang mendekati kedua-dua tokoh dalam suasana santai dan mesra. Program tersebut memberi ruang kepada masyarakat setempat menyuarakan pandangan, berkongsi keperluan komuniti, selain mendapatkan pencerahan mengenai isu-isu semasa yang berkaitan dengan pembangunan Pulau Bum Bum dan daerah Semporna.

Dalam sesi bual bicara, Datuk Seri Dr. Mujahid menekankan kepentingan menyantuni rakyat melalui pendekatan bersemuka, selain memastikan keperluan golongan luar bandar mendapat perhatian sewajarnya. Beliau turut menyatakan komitmen Amanah dalam memperkukuh agenda kesejahteraan masyarakat di Sabah.

Sementara itu, calon N.64 Sulabayan, Uts Zulfiqar Ab Mijan, menegaskan hasratnya untuk membawa suara penduduk Pulau Bum Bum ke peringkat lebih tinggi, khususnya dalam aspek prasarana, peluang ekonomi serta pendidikan generasi muda.


