Segerakan akses kontraktor RBT, LLM, desak Adun Kota Kemuning

Adun Kota Kemuning Preakas Sampunathan menyelar kelewatan akses oleh pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia kepada kontraktor yang terlibat dalam pembinaan banteng.

Ini kerana pembinaan banteng tersebut adalah langkah penting dalam usaha mitigasi banjir dan penduduk Taman Sri Muda telah berulangkali berdepan musibah banjir.

“Ini bukan lagi isu teknikal. Ini kegagalan pentadbiran dan koordinasi, khususnya apabila perkara yang begitu asas masih tertangguh selepas bertahun-tahun.

“Saya mendesak LLM untuk serta-merta memberikan akses kepada kontraktor RBT bagi pembinaan benteng (bund) yang akan menghalang aliran air ke Jalan Mantap dan untuk menyiapkan sistem perparitan baharu bagi mengalihkan aliran air dari Kemuning Utama ke Sri Muda.

“Saya ulangi dengan tegas: Sampai bila LLM mahu berlengah? Sampai bila rakyat perlu menanggung akibat kelewatan ini?”

Wakil rakyat DAP tersebut turut menggesa Jabatan Pengairan dan Saliran mempercepatkan projek berkaitan.

“Saya juga menuntut JPS untuk mempercepatkan dengan segera Projek RBT Sungai Rasau. Kelewatan menyiapkan tidal gate telah membenarkan aliran balik dari Sungai Klang ke Sungai Rasau—dan akhirnya menenggelamkan Taman Desa Kemuning.

“Kerja mungkin sedang berjalan, tetapi alasan “kerja sedang dilaksanakan” tidak boleh dijadikan perisai untuk menutup kelewatan dan kelemahan koordinasi.”

Beliau juga mahu kerajaan Selangor memberikan keutamaan kepada projek mitigasi banjir.

Tambahnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri “sudah berkali-kali mengarahkan agar semua urusan berkaitan mitigasi banjir dipercepatkan tanpa birokrasi yang melambatkan.”

BACA JUGA: Banjir kian memburuk, lebih 15,000 mangsa berlindung di 97 PPS