Ini 2 sebab Ketua Bahagian Warisan sertai PKR
Berbaki dua hari lagi berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, Ketua Bahagian Parti Warisan (Warisan) Sipitang, Abd Aziz Taip mengambil keputusan untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Keputusannya meninggalkan Warisan dibuat selepas beliau menilai secara menyeluruh hala tuju masa depan Sabah serta realiti politik semasa.
“Saya ingin mengumumkan secara rasmi bahawa saya telah membuat keputusan untuk melepaskan semua jawatan dalam Warisan berkuat kuasa serta-merta, termasuk sebagai Ahli Majlis Tertinggi (AMT).
“Seiring dengan keputusan tersebut, saya juga mengumumkan bahawa saya keluar daripada Warisan. Keputusan ini adalah berat, namun perlu dibuat segera demi kepentingan rakyat Sabah yang saya cintai.

“Hari ini, dengan penuh keinsafan dan rasa tanggungjawab terhadap masa depan Sabah, saya memilih untuk berhijrah menyertai PKR, sebuah platform perjuangan yang lebih jelas, terbuka dan berwibawa dalam memperjuangkan hak Sabah secara realistik dan menyeluruh,” katanya dalam sidang akhbar di Kota Kinabalu, hari ini.
Bekas Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Warisan itu berkata, keputusan tersebut berasaskan dua perkara utama, antaranya keyakinan terhadap komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah.
“Saya yakin dengan usaha bersungguh-sungguh Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mengembalikan hak Sabah berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khususnya tuntutan 40 peratus hasil negeri.
“Ini membuktikan bahawa perjuangan Sabah kini berada pada landasan yang betul, berdasarkan tindakan, bukan sekadar slogan dan janji kosong,” katanya.
Hilang keyakinan
Abd Aziz turut menjelaskan bahawa hilangnya keyakinan terhadap kepimpinan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menjadi punca utama beliau meninggalkan parti.
“Sebaliknya, keputusan yang dibuat banyak berunsur politik balas dendam, bukan berpaksikan masa depan Sabah.
“Saya khuatir sekiranya Warisan kembali memerintah, Sabah berisiko mengalami kemunduran yang lebih besar. Rakyat Sabah berhak untuk maju ke hadapan, bukan kembali ke belakang,” tegasnya.
Beliau menambah, komitmennya terhadap perjuangan rakyat Sabah tetap utuh.
“Saya akan terus berjuang dengan penuh integriti dan keikhlasan untuk memperkasa ekonomi rakyat, membina modal insan, serta memastikan generasi muda Sabah memiliki masa depan yang cerah dan terjamin.
“Saya percaya bahawa kerjasama strategik antara Sabah dan kerajaan Persekutuan adalah satu-satunya jalan terbaik untuk mencapai perubahan sebenar yang telah lama diimpikan,” katanya.
BACA JUGA Nik Abduh dicemuh selepas sembang Pas kekal rekod bersih rasuah